Thursday 25 February 2016

Kahwin Kampus - Bab 10



 

Bab 10





Setiap hari aku berbalas mesej dengan Khayra. Jujurnya aku rasa sangat sunyi dan terkurung di sini. Usai solat subuh aku akan membantu mak cik di dapur. Aku ikut bantu mengemas apa yang patut dan menyediakan hidangan makan tengah hari. Selepas itu barulah aku berehat di bilik dan keluar semula ketika mak cik menyediakan minum petang. 


Dah empat hari aku melakukan rutin baharu ni. Aku tak kisah sangat sebenarnya, tapi aku sunyi sebab tak ada teman nak berbual. Abang Shah malam baru nampak muka. Dia pergi kerja katanya, tapi lewat malam baru dia balik. Nak sembang-sembang dengan dia macam selalu, rasa kekok. Nanny macam sentiasa perhatikan kami. Sah nanny ada tanggapan yang salah terhadap kami rentetan daripada peristiwa malam itu. 


Habis menonton drama Korea secara online aku turun ke dapur. Tekak rasa dahaga pula. Air masak dalam peti ais aku tuang ke dalam gelas. Aku ambil tempat di meja makan kecil di sini.


Walaupun jam dan menginjak jam 12:00 malam mata aku masih segar-bugar. Nak sambung menonton dah rasa tak larat. Nak muntah dah aku dok pandang skrin laptop. Mula-mula berlaman sosial. Lepas itu baru layan drama. Kalau aku paksa mata aku menonton mesti kepala aku akan pening. 


“Tak boleh tidur ke?” Satu suara menyapa. Betul-betul kat belakang telinga. Terkejut aku dibuatnya. Abang Shah tersengih pandang aku sebaik aku berpaling. 


“Baru balik ke?” Masa makan malam tadi dia tak ada. Belum balik. 


“Dah sejam abang balik. Dahagalah pulak, buatkan abang kopi. Lepas itu kita lepak kat tepi kolam renang. Lama tak borak dengan Ika!” Dia cakap sambil senyum pandang aku. 


Elok juga Abang Shah ambil keputusan nak lepak kat kat luar rumah. Aku memang nak menikmati udara malam. Tapi kalau sendirian aku takut nak keluar. Buatnya ada penyangak datang, mati aku. 


Muk berisi kopi o aku letak atas meja bulat. Aku pandang sekilas air kolam renang yang kelihatan sangat tenang. Tidak ada angin yang menghembus tetapi hawa tetap terasa dingin. Dah tengah malam pun, memang patutlah. Suasana sekeliling pun dah sunyi dan sepi. 


“Bosan ke tinggal kat sini?” Abang Shah ambil tempat kat sebelah aku. Di tepi kolam renang. Aku duduk bersimpuh sambil tangan mengocak perlahan air kolam. Sejuk. 


“Taklah!” Aku bohong. Gila tak bosan? Kalau bosan ini sejenis penyakit yang boleh membawa maut, lama dah aku jadi arwah. 


“Kalau tak bosan kenapa nak pergi Merlimau?” 


“Oh…” Aku pandang kat dia. 


Cepatnya berita sampai. Tepat lagi jitu. Baru masa makan malam tadi aku beritahu nanny rancangan aku nak bercuti di kampung Khayra. Ini Abang Shah dah tahu. Nanny berWhatsApp dengan Abang Shah ke? Betapa teknologi menguasai sempadan, segalanya di hujung jari. 


“Pak cik dah tahu?” 


“Dah, ayah beri kebenaran. Nanti hari Ahad ayah hantar ke TBS.” Aku akan menaiki bas sahaja ke sana nanti. Ayah berjanji akan ambilkan tiket. 


“Pak cik lepaskan Ika pergi naik bas? Sorang-sorang?” 


Aku anggukkan kepala. Takkan aku nak naik unta pulak. Dah bas saja pengangkutan yang senang, mudah dan murah. 


Erm, berapa lama Ika nak tinggal di sana? Tak menyusahkan dia orang ke? Khayra, kan nama dia?” 


“Tak tahulah lagi berapa lama. Selalunya kalau Ika ke sana memang lama jugaklah. Ika dah biasa dengan keluarga Khayra.” Aku dah beberapa kali lepak di rumah keluarga Khayra. Selain sukakan suasana di kampungnya, keluarganya juga baik-baik. Menerima aku dengan tangan terbuka. 


Di sana aku selalu rasa gembira dan bahagia. Hari-hari kami bergelak ketawa. Dapat makan masakan yang sedap-sedap hasil air tangan emak Khayra. Betapa kadang-kadang aku amat berharap yang emak Khayra itu adalah emak aku juga. Nak saja aku tanya mak cik itu kalau-kalau dia nak ambil anak angkat. Aku nak apply. Tapi tak logik kut, sebab dia dah ada tiga orang anak perempuan. 


“Dah pernah pergilah sebelum ni?” Abang Shah terus menyoal. Sesekali dia menyisip kopi o yang masih berasap tu. Suka sangat minum kopi o dia ni. Macam atuk-atuk saja gayanya. 


“Dah banyak kali…” 


“Apa ada kat sana? Khayra ada kakak?” 


“Ada, dah ada anak satu. Famili Khayra nak buat kenduri akikah anak buah dia. Itu yang beria-ia ajak Ika datang sana.” Aku terangkan sebab sebenar mengapa aku nak ke sana. Konon nak tolong buat persiapan kenduri. Konon la, macamlah aku ini terer sangat. 


“Ala… dah kahwin ke kakak dia? Abang baru nak berkenalan!” 


“Apa susah, tackle jelah Khayra!” 


“Tak boleh, nanti Ika jealous. Entah apa-apa Ika racun dia nanti. Abang tahulah, Ika sebenarnya minat kat abang, kan?” Dia cakap sambil senyum-senyum pandang aku. 


Hendak menggatal pula dia. Habis itu teman wanita rambut karat dia itu nak letak mana? 


“Perasan!” Aku cebik dan dia gelak. 


“Abang hantar!” Kali ini dia tak gelak dah. Serius saja muka dia. Tepat pandang kat aku. Segan dengan tatapan mata dia aku terus kalih pandang ke depan. Ke arah gazebo yang terletak di seberang kolam renang bersaiz sederhana ini. 


“Ayah kata dia nak hantar, lagipun tiket bas kat ayah.” Aku berharap sangat ayah dah beli tiket. Kalau boleh esok juga aku nak pergi tapi ayah kata esok dia ada kerja. Ahad baru dia free


“Abang hantar sampai Melaka.” 


Hah?” Kali ini aku pula pandang kat dia. Aku ingat dia nak hantar kat TBS saja tadi. Rasa macam tak percaya pulak dia nak hantar sampai Melaka. Perlahan dia anggukkan kepala. 


Ishk, tak payahlah. Abang Shah tahu ke Melaka tu di mana? Sesat nanti!” 


“Amboi, GPS kan ada?” 


“Tahu tak apa maksud GPS?” Masa ini aku dah senyum. 


“Apa?” Dia tanya dengan nada polos. 


“Guna Pun Sesat!” 


Ha ha ha… lawaklah tu!” 


Erkk… tak lawak ke? 


“Shah! Ika! Buat apa berdua-duaan kat luar tengah-tengah malam buta ni?” Aku dengan Abang Shah serentak pandang arah suara tu. Nanny sedang bercekak pinggang dan pandang tajam kat kami. Alamak… seriau aku! 


“Shah ajak Ika teman minum nanny!” Abang Shah bangun dan menghampiri nanny dengan muk berisi kopi di tangan kanan. 


“Kalau nak sangat berteman, menikah!” Nanny sound macam itu dan pandang tepat pada Abang Shah. Serius betul muka nanny. Aku tahulah dulu dia pensyarah, tapi kami ini bukan pelajar dia. Be cool, nanny


Yelah, nanti Shah dengan Ika menikah! Kan Ika?” Dia cakap sambil paling pandang aku, kemudian kenyit mata. Cehh… 


“Dah, pergi masuk Ika! Nanny nak bercakap dengan Shah kejap.” 


Tak tunggu walau sesaat pun, aku terus akur dengan arahan nanny. Laju kaki melangkah, tak toleh belakang dah. Lain macam betul perangai nanny sejak Abang Shah ada ni. Tegas semacam!



No comments:

Post a Comment