Friday 1 April 2016

Istana Hati - Bab 1





“Cik Fasihah Husna?” Seorang perempuan cantik dan bersuara lemah lembut menyapa.


“Saya!” Aku menjawab sebaik membalas senyuman manisnya.


“Ini untuk cik!” Jambangan besar bunga ros merah diserahkan kepadaku. 


“Untuk saya?” Aku buat muka hairan. 


“Ya, untuk cik. Silalah ambil!” Dengan senyuman jambangan bunga didekatkan kepadaku apabila aku tidak menyambutnya tadi.


“Husna! Kami bergerak dulu!” Aku dengar suara Abang Azri dan dia melambai pergi dengan yang lain-lain.


“Daripada siapa ya?” Aku masih tidak mahu menyambut jambangan bunga ini. Aku tengok muka perempuan depan aku ni dah serba-salah.


Sekonyong-konyong mata aku terpandang kepada sekumpulan lima ke enam orang lelaki yang sedang berjalan dengan penuh bergaya. Berada di tengah lelaki-lelaki tersebut seorang lelaki tinggi lampai yang berkulit hitam manis, siap bercermin mata hitam. 

Ketika aku terpandang dia yang berada di kejauhan sana dia buat isyarat suruh aku ambil jambangan bunga tersebut.


Bagaikan dipukau aku sambut jambangan bunga di tangan perempuan depan aku ni. Boleh tahan berat juga jambangan bunga ni. Aku pandang sekali lagi arah lelaki-lelaki tadi yang dan lelaki hitam manis itu tunjukkan ibu jari kepadaku. Kepalanya sedikit terangguk dan dia terus berjalan. 


“Terima kasih Cik Fasihah Husna, saya minta diri dulu!” Perempuan depan aku anggukkan kepala dan berpusing untuk pergi.


“Err... sama-sama,” perlahan perkataan itu kusebut. Aku toleh belakang dan nampak kelibat Abang Azri dan yang lain-lain sudah jauh meninggalkanku. Segera kuhayun langkah kaki, mahu menyaingi mereka.




Aku pun tak tahu mana nak letak bunga sejambak ni. Haish, walaupun bunga ni memang cantik dan berbau wangi namun sedikit sebanyak menyusahkan juga. Sampaikan tertumpah jus oren yang aku minum, maklumlah sambil meriba jambangan bunga besar ni. Nak letak kat tempat kaki tak sampai hati pula, mesti mahal jambangan bunga ni. Kebetulan pula semua tempat duduk penuh hari ini.


“I nak pergi tandas kejap!” Aku beritahu Sharine yang sedang leka membaca di sebelah. Kalau akulah memang takkan boleh membaca dalam sebarang jenis kenderaan. Kejap je nanti kepala aku akan pening dan mata aku berpinar-pinar.


Sharine anggukkan kepala dan aku berlalu menuju ke tandas. Mahu membersihkan tumpahan air oren yang terkena blaus dan seluar panjang yang kupakai. Dahlah blaus aku ni berwarna krim, memang nampaklah kesan kuning air oren tu.


Siap mencuci dan mengelap kesan tumpahan air oren tu aku merapikan tudung kepala. Setelah berpuas hati dengan penampilanku yang sederhana ini aku keluar dari tandas dan berjalan melalui laluan antara kerusi penumpang untuk kembali ke tempat dudukku.


Aku lihat nombor tempat duduk dan juga orang yang berada di tempat sepatutnya Sharine berada. 


“Duduklah!” Dia angkat jambangan bunga ros yang kuletakkan atas tempat dudukku tadi.


“Sharine mana?” Nak tak nak terpaksalah aku duduk juga. Dah memang sini tempat asal aku tadi. Dia ni yang merempat kat sini dah kenapa?


“Aku tukar tempat dengan dia!”


“Kenapa?” Aku tanya dengan muka terperanjat. Apasal tak tukar tempat dengan aku je? Dia duduk business class kut!


“Aku nak duduk sebelah kau! Erm, lawa jambangan bunga ni. Siapa bagi?” Dia bisik kat telinga aku.


“Orang bagi!” Aku jawab dengan selamba dan ambil bunga dari ribaan dia. Aku dengar dia gelak.


“Memanglah orang yang bagi, takkan monyet pandai bagi orang bunga pulak!”


Malas layan dia maka aku mendiamkan diri. Aku lebih daripada perasan yang ada beberapa penumpang yang tertoleh-toleh memandang dia. Tak boleh ke dia duduk diam-diam kat business class tu tadi?


“Husna! Siapa bagi bunga ni?”


“Aku pun tak tahu siapa yang bagi!” 


“Wah, kiranya kau ada secret admirerlah ni?”


“Entahlah, malas aku nak fikir!” 


Aku tipu dia je ni. Padahalnya aku dah boleh agak siapa yang bagi. Takut dia tak percaya je kalau aku cakap siapa gerangan si pemberi jambangan bunga ros merah ini.


“Aku rasa macam tak percaya je dijemput ke istana. Tu kira peluang sekali seumur hidup, kan?” Huzir, lelaki yang duduk di sebelah aku ni tak jemu-jemu mahu berbual.


Huzir Hanafi ni pada aku adalah seorang lelaki yang unik. Kebanyakan ahli keluarganya terlibat dalam dunia perubatan. Dia ni juga adalah lulusan dalam bidang perubatan, entah apa yang tak kena dia terlibat dalam dunia penyiaran dan hiburan pula. 
Dia adalah salah seorang selebriti yang sedang meningkat naik dalam bidang hiburan negara. 



Aku kenal dia setahun yang lalu. Ketika mula-mula bekerja dengan stesen penyiaran swasta yang terkenal di negara ini. Kebetulan tak lama kemudian dia menjadi pengacara untuk rancangan variasi dan juga rancangan masakan yang team aku kendalikan.


“Betul tu. Kalau tak dapat jemputan memang jangan bermimpilah nak ke sana.” Aku bersetuju dengan kata-kata Huzir.


“Pengiran Muda Mahmood tu, baik orangnya. Kau tak rasa ke bertuah hidup dia. Handsome, berpelajaran dan kaya-raya?” Huzir menyebut nama anak raja yang mengiringi kami sepanjang berada di istana dan membuat penggambaran.


Lidah terasa kelu. Memang aku akui, Pengiran Muda Mahmood ataupun yang aku kenali sebagai YMP itu memang baik orangnya. Tetapi yang tidak team aku ketahui adalah aku dengan YMP itu sudah saling mengenali sebelum ini.


Aku rasa, YMP yang membuat pelawaan agar kami ke istana kediaman keluarganya. Kerana sepanjang di sana dia yang banyak mengelolakan kami. Sentiasa ada dengan kami. Dan entah kenapa aku terasa yang semua itu ada kena mengena denganku.


“Kau kenal rapat dengan Pengiran Muda Mahmood tu?” Huzir utarakan soalan yang tidak aku jangkakan.


“Ishk, takkanlah. Dia itu anak raja sedangkan aku ni rakyat marhaen. Kat celah mana pulak aku nak kenal rapat dengan dia?” Lidah lancar memberikan alasan.


“Manalah tahu kalau-kalau kau orang pernah berjumpa sebelum ni. Sebab aku nampak pengiran tu pandang kau dengan penuh berminat!”


“Pandang dengan penuh berminat? Pelik ulasan kau ni!”


“Aku rasa dia suka kau!” Huzir rapatkan badan ke arahku dan berbisik di telinga.


“Merepeklah kau!” 

Aku jauhkan muka dan tubuhku daripada dia. Hanya apabila dia kembali bersandar di tempat duduknya aku kembali ke posisi tadi.


“Tapi aku tak hairan kalau dia suka kau!” Huzir senyum pandang aku.


“Maksud kau?”


“Sebab aku pun suka kat kau juga! Tak susah nak suka kat kau ni. Cuma kau je yang suka jual mahal!” Huzir sambung senyum. Aku dah terpaku, tak tahu nak cakap apa!



No comments:

Post a Comment