Bab 4
Lepas parkir kereta
elok-elok aku buka tempat duduk belakang dan capai bakul piknik. Susah payah
aku menyediakan sarapan pagi ni.
Patut tak aku minta upah kat dia ni? Aku rasa
tak ada masalah kut, aku yakin lagi pasti dia ni kaya-raya orangnya. Tapi, aku
bukannya perempuan mata duitan. Maka aku senyum dan cuba ikhlaskan diri. Ini
pun demi menjaga periuk nasi aku juga. Ikhlas konon!
Tak patut betul majikan
aku tu. Dasar kapitalis! Ada ke main ugut-ugut. Setakat ugut aku kena berhenti
kerja tu okey lagi. Yang sampai ugut aku takkan dapat bekerja dalam bidang
penyiaran ni lagi, ha... yang tu kejam tahap dewa! Kurang asam betul!
Aku keluarkan bakul
piknik dan baru aku perasan betapa beratnya benda alah ni. Apa yang aku bawa
ni? Masa masukkan dalam kereta tadi macam tak berat pun. Hisk! Ada jin
menumpang duduk dalam bakul piknik ni ke?
Aku baru je cadang nak
letak ke bawah bakul piknik ni apabila ada tangan yang mencapainya daripada
tangan aku. Ah, lega! Aku pusing arah gerangan orang yang mengambil bakul
piknik di tanganku tadi. Bibir dah menguntum senyum sebab tak sangka tuan
putera ni jenis ringan tulang juga.
“Where should I put the basket, miss?”
Mati senyuman dibibirku
apabila melihat gerangan orang yang sedang memegang bakul piknik itu. Bukan YMP
rupanya tetapi salah seorang bodyguard
dia.
“Letaklah di mana-mana
pun. Kita orang nak jalan-jalan dulu!” Aku jawab sambil pandang arah YMP.
Apalah, kata je bodyguard dia takkan ganggu. Ni yang
sampai nak kena bawakan bakul piknik apa kes? Aku tunjuk muka tak puas hati.
“Berat kan bakul tu, apa
salahnya Ryan bawakan!” Itu yang YMP cakapkan kepadaku sebaik kami berjalan
bergandingan.
Kalau tau berat patutnya
dialah yang bawakan. Ni tak, benda simple
macam ni pun nak suruh orang lain tolong. Nak kata tak ada tangan elok je
terletak dua tangan di kiri dan kanan bahu tu.
Mujurlah dia ni tetamu yang
harus aku entertain selama tiga hari
ni. Kalau boyfriend aku berat tulang
macam ni memang bye-byelah jawabnya!
“Husna kelihatan seperti
tidak puas hati sahaja? Saya buat Husna marah?” Suara lembut dan berkarisma itu
kedengaran. Walaupun bahasa sopan dia tu buatkan aku rasa nak tersengih namun
harus aku akui, mendengar suara itu membuatkan hati yang mula terasa panas tadi
jadi dingin kembali. Suara dia bagaikan ada aura penyejuk.
Mulanya nak je aku
tanya, dia memang jenis berat tulang ke? Tapi macam tak logik pula. Kalau dia
lahir dalam dulang emas dan di istana kediaman dia tu ada sekian ramai pekerja,
memang aci potong jari pun aku yakin dia jenis tak pernah buat kerja.
Tengok
jari jemari dia yang runcing tu pun dah tahu. Silap-silap makan pun ada tukang
suap. Aku yakin telapak tangan dia lebih lembut dan gebu daripada telapak
tangan aku.
“Tak, tak ada apa-apa!”
Aku gelengkan kepala.
“Husna selalu ke sini?”
“Kadang-kadang, di
hujung minggu!” jawabku.
Memang belum pernah lagi
aku buat kerja gila macam hari ni. Bersiar-siar di sini pada hari kerja biasa.
Tapi mujurlah juga, jumlah pengunjung memang boleh dibilang dengan jari je
kalau hari biasa macam ni.
“Datang sini selalunya
buat apa?” Dia tanya lagi. Ketika ini kami berjalan dengan santai sambil
menikmati pemandangan di sini.
“Beriadah, berbasikal
dan berjoging!” Aku senaraikan juga beberapa aktiviti yang biasanya kulakukan
di sini. Belum pernah lagi aku saja-saja nak melangak tanpa arah tujuan di
sini.
“Husna suka bersenam?”
“Suka juga!” Aku tipu je
ni. Sebab selalunya aku buat senaman mulut je. Mengunyah.
“Apa hobi Husna?”
Adoyai, banyak pulak
soalan dia ni. Ada baiknya aku cari tempat sesuai untuk buka bekalan dan makan.
Supaya dia tak perlu tanya aku banyak-banyak. Aku tak suka tau, orang korek hal
peribadi aku!
“Ha, jom duduk kat
sana!” Aku tunjuk arah meja dan kerusi batu yang kosong. Sesuai jadi port lepak
sambil bersarapan. Aku pun dah lapar ni. Terkenangkan nasi lemak home made aku tadi membuatkan perasaan
lapar menjadi berganda-ganda.
Sesuai sangat duduk di
sini sambil menikmati keindahan pemandangan tasik dan bangunan-bangunan di
sebelah sana. Perlahan aku buka bekal yang kubawa tadi. Ryan si bodyguard tu berlalu pergi sebaik
meletakkan bakul piknik atas meja.
Aku susun tupperware
berisi nasi dan lauk pauk depan mata dia. Thermal
flask berisi air nescafe aku buka dan tuang isinya dalam dua biji cawan.
Dah siap isi nasi dan
lauk pauk dalam pinggan aku pandang dia.
“Kenapa?” Dia bertanya
apabila nampak muka serba salah aku.
“Nak suruh dia orang
rasa dulu ke?” Aku tanya sambil kerling para bodyguard yang berada nun di sana.
“Kenapa?” Dia ulang ayat
yang sama.
“Tak adalah, selalu saya
tengok dalam drama Cina dan Korea tu, kalau makanan untuk raja akan ada tukang
rasa dulu. Bagi memastikan makanan tu selamat dimakan,” ujarku sopan.
Sebenarnya aku nak sebut racun tadi. Tapi macam kasar pulak. Maka aku berbahasa lembut.
Dia ketawa dengan nada
sopan. Ketawa yang nampak macam ikhlas dan bukan sengaja dibuat-buat.
“Kenapa YMP ketawa?” Aku
bukannya buat lawak.
“Husna tak ada niat nak
racun saya, kan?” Dia panahkan pandangan mata redupnya kepadaku.
Laju aku menggelengkan
kepala. Gila aku nak racun dia? Bukan dia je, siapa-siapa pun! Aku takde niat
nak jadi pembunuh!
“Kalau macam tu tak
perlulah minta dia orang rasa masakan Husna ni. Saya bukannya raja dan saya yakin
Husna masak ni istimewa untuk saya, kan?”
“Err, janganlah menaruh
harapan tinggi sangat YMP. Saya takut tak menepati citarasa YMP pula nanti!”
ujarku. Masa ni baru aku rasa menyesal sebab bersetuju masakkan sarapan untuk
dia hari ni.
Setakat nasi lemak ni,
kalau aku pergi beli dekat gerai yang selalu tu pun bukannya dia tahu. Masukkan
je dalam tupperware dan mengaku itu masakan aku. Tak payahlah aku bersusah
payah bangun pagi-pagi tadi. Haiya!
Tapi, tak baik menipu
kan? Alah, dah terhidang depan mata pun. Sedap tak sedap belakang kira. Yang
penting aku dah penuhi permintaan dia. Lega!
Dia baca doa makan dan
letak sudu dan garfu atas pinggan ketepi. Botol air mineral dibuka dan dia cuci
tangan. Nak makan pakai tangan rupanya. Aku je yang bajet takde jari jemari dan nak makan pakai sudu garfu pagi ni.
“Sedap!” pujinya sepatah
selepas menelan sesuap nasi lemak masakanku.
“Terima kasih!” Aku
cakap sambil senyum. Gila tak seronok kena puji!
“Suka memasak?” Dia
tanya sebaik menelan sesuap lagi nasi lemak.
“Suka, tapi sejak
bekerja jarang masak. Selalunya makan kat kedai je!”
Aku memang suka memasak
sebenarnya. Sebab tu aku enjoy
mengendalikan rancangan masakan dengan stesen penyiaran tempat aku bekerja ni.
No comments:
Post a Comment