Friday 11 March 2016

Cinta Infiniti - Bab 8



Bab 8




Kami sama-sama masuk dalam lif dan waktu lif tiba di lobi dia suruh aku keluar dan tunggu dia kat sofa berhampiran kaunter penyambut tetamu tu. Dia nak naik dan simpan beg dia kat pejabat dulu katanya. Nak tak nak terpaksalah aku ikut arahan dia.


Sekarang ni aku dengan dia sedang duduk saling berhadapan kat restoran Melayu ni. Aku oder teh o dan nasi lemak ayam berempah. Sama dengan menu orang yang kat depan aku ni. Senang sikit.


“Hani tinggal di Putrajaya dengan keluarga atau kawan-kawan?” Dia tanya soalan yang membuatkan aku terkejut. Macam mana dia tahu aku tinggal di Putrajaya? Aku rasa Nina pun tak tahu aku tinggal kat mana sebab dia tak pernah tanya. Ke aku ada tercerita kat sapa-sapa? Tapi rasanya tak ada. Kira magic gak sebab dia tahu kat mana aku tinggal.


“Dengan keluarga,” aku jawab sambil pandang sekeliling restoran sekilas. Kebanyakan meja sedang dihuni oleh para pelanggan. Samalah keadaannya dengan restoran mamak yang kat depan pejabat tu. Sentiasa je penuh dengan pelanggan. Berapa ribulah sehari collection dia orang meniaga ya? Teringin gak aku nak tahu.


“Patutlah…” Dia cakap macam tu dan dengan senyum senget tu dia pandang aku. Cepat-cepat aku alihkan pandangan ke bawah. Tiba-tiba aku jadi segan berada berdua-duaan di sini dengan dia. Ya-Allah, minta-mintalah muncul sesiapa yang aku kenali dari ofis dan join kami makan di sini. Ikut hati nak aje aku WhatsApp Suhaina dan ajak dia ke mari. Tapi semalam Suhaina kata dia akan datang lambat sikit. 


“Patutlah Hani nampak sopan dan terpelihara.”


“Apa maksud encik?” 


“Hani macam gadis pingitan. Malu-malu dan sukar didekati. Abang suka…” Dia ni memanglah. Asyiklah nak bahasakan diri dia ‘abang’ dengan aku. Masalahnya aku ni memang tak ada abang kandung, abang ipar adalah, itupun aku panggil dia abang long. Belum pernah lagi aku panggil mana-mana lelaki dengan panggilan abang je… paling tidak mesti kena sebut nama sekali. 


“Maaflah… saya memang bukan seorang yang peramah.” Nasi lemak ayam berempah baru sahaja diletakkan di depan kami. Masih panas berasap lagi, tengok ayam berempah tu menaikkan selera aku.


“Makanlah.” Umar Azharie dah pegang sudu garfu, tanda bersedia nak makan. Aku bangun menuju ke singki di belakang restoran dan basuh tangan. Aku nak makan guna tangan juga, nak tengok reaksi orang depan aku ni. 


Sebaik aku duduk dia pulak bangun dan pergi basuh tangan. Tak sangka pulak aku, ingatkan dia ni stok-stok yang suka makan bersudu dan garfu. Yelah, nanti berbau sambal pulak tangan tu kalau tak disabun bersih-bersih.


Aku tumpang aminkan doa makan yang dia baca. Aku tengok dia sisip teh ‘o’ dulu beberapa teguk sebelum dia mula makan. Hrmmm… dia ni nampak tertib. Beradab orangnya. Alhamdulillah.


“Agaknya macam nilah hari-hari kalau saya ada isteri. Boleh pergi kerja sama-sama, sarapan sama-sama. Mesti indah dunia saya nanti, kan?” Dia senyum pandang aku yang terkulat-kulat je dengar statement yang keluar daripada mulut dia tu.


“Kadang-kadang cemburu pulak tengok orang lain yang berpasangan sedangkan saya ni masih tercari-cari yang sesuai di hati.” Dia sambung cakap. Aku kunyah nasi dalam mulut perlahan-lahan. Dia ingat aku ni kaunselor ke apa? Nak buat sesi meluah perasaan kat sini ke? Tak sesuai la.


Jangan dia nak minta pendapat aku fasal hubungan cinta lelaki-perempuan sudahlah. Sebabnya, aku mana pernah bercinta. Mama dah warning aku awal-awal lagi, jangan pandai-pandai nak bercinta sebelum waktunya. Tapi kalau rasa dah ada yang berkenan di hati terus je bawa jumpa mama dan papa. Tak payah cakap banyak, terus kahwin je kalau keluarga pun setuju. Senang betul cara mama. Tu yang aku tak berani nak bercinta. Takut kena kahwin muda. Aku belum puas enjoy lagi.


“Abang nak cakap sesuatu boleh?” Dia pandang aku dengan muka yang ala-ala romantis pulak dah. Erkkk… Nak tak nak terpaksalah aku anggukkan kepala. 


“Hani… err… Hani…” Aku angkat muka dan pandang dia. Laaa… gagap ke? Tersekat-sekat je suara dia. Segan agaknya dengan kegagapan tu maka dia angkat cawan teh ‘o’ dia dan minum beberapa teguk. 


“Hani, abang suka Hani.” Lepas dia berdeham betulkan suara terus terlancar perkataan tu daripada mulut dia. Aku yang memang tunggu  kenyataan daripada dia terus terpana.


“Ada sebab kenapa abang selalu tanya Hani ada special ke tidak. Tapi biasanya Hani akan abaikan soalan tu. Jadi baik abang cakap terus terang. Abang suka Hani. Kali pertama nampak Hani abang dah berkenan.” Dia cakap sambil terus panahkan pandangan mata dia kat muka aku. Aku dapat rasa muka aku panas. Confirm muka aku dah merah. Apa aku nak jawab ni ha? Nak buat reaksi bagaimana?


“Pertama kali abang nampak Hani dengan Suhaina, masa korang datang sini nak bersarapan. Hani berjalan malu-malu masuk dalam restoran mamak tu. Tekaan abang Hani masih single sebab kalau isteri orang biasanya dia berjalan dengan yakin je… tak malu-malu sangat macam Hani hari tu.” Dia sambung cakap. Aku rasa tak tertelan dah nasi dalam mulut aku ni. Tapi aku paksa diri, kunyah juga perlahan-lahan.


“Abang ikhlas sukakan Hani. Semakin hari semakin suka dan sayang.” Dah macam berbisik pulak suara dia pada ayat terakhir tu. Meremang bulu tengkuk aku dibuatnya.


“Hani nak basuh tangan kejap.” Aku bangun dan menuju ke singki. Sambil basuh tangan aku pandang cermin besar kat singki tu. Aku nampak pantulan imej dia melalui cermin. Dia tengah tundukkan wajahnya ke bawah. Dia menyesal dengan pengakuan dia tadi ke?


Aku tarik kerusi dan duduk dengan perlahan. Nasi lemak masih berbaki separuh. Lauknya pun masih banyak lagi tapi aku memang tak mampu nak mengunyah dan menelan dah. 


“Kenapa Hani?” aku tanya dia macam tu sebab Nina yang gilakan Umar Azharie ni. Pantang ada masa terluang mesti Nina akan cerita apa sahaja tentang lelaki depan aku ni. Abang Ayie itu, Abang Ayie ini… semuanya tentang Abang Ayie. Aku pun selalu nampak Nina dan dia ni berbual dengan mesra. Tup-tup dia mengaku sukakan aku. Dia nak test aku ke apa ni?


“Kenapa tidak Hani? Hati abang memang menyukai Hani. Apabila pandang Hani je jantung abang berdegup kencang. Macam kuda yang tengah berlari, kalau abang tak pegang dada abang ni mesti jantung abang dah terkeluar.” Dia cakap sambil pegang dada dia.  Kali ni dia tak senyum dah, memang dia tengah serius nampaknya.


“Abang tak paksa Hani terima perasaan abang ni. Nampak jelas rasa terkejut daripada wajah Hani tu. Abang cuma nak luahkan perasaan yang terpendam dalam hati abang ni. Makin lama abang simpan makin jadi penasaran. Sekurang-kurangnya abang ada inisiatif nak beritahu Hani hal sebenar. Biarlah abang bertepuk sebelah tangan pun, yang penting Hani dah tahu isi hati abang.” Dengan wajah yakin dia habiskan kata-katanya. Kemudian dia bangun dan menuju ke singki.


Memang aku terkejut dengan pengakuan dia. Masih terlalu awal rasanya sebab aku pun baru berada di sini sebulan lebih. Ada ke orang jatuh cinta secepat itu. Aku yakin tak yakin je ni. Tapi nampak raut wajah dia tadi macam bersungguh-sungguh je. Lagipun buat apa dia nak cakap main-main kan? Macam takde kerja sangat je kalau dia nak buat macam tu. 


Dia kembali beberapa minit lepas basuh tangan dan duduk balik kat depan aku. Dia capai cawan yang masih berbaki separuh dengan air teh ‘o’ dan dibawa ke mulut. Kalaupun aku nak tolak kenalah cakap baik-baik kan? Jangan sampai dia terasa hati dan paling teruk kalau dia berdendam. Hati aku dah libang-libu dengan macam-macam perasaan yang menghuni di dalam dada.


Tapi jujurnya aku pun suka tengok perawakan dan penampilan dia ni. Cara dia berinteraksi nampak berkarisma. Apabila bercakap dia kelihatan begitu berkeyakinan dan berketrampilan. Memang sajak dengan title arkitek dia tu kut. Perangai dia pun okey jugak, taklah lepas laku dan ringan mulut sangat macam kembar dia tu. Akmal Rizal tu kalau bercakap memang ikut sedap mulut dia aje. Dahlah suka bergurau dan mengusik yang bukan-bukan. 


“Jangan salah faham. Bukan Hani tak suka encik atau apa, Hani terperanjat. Memang tak sangka encik akan cakap semua ni. Tak sangka langsung…” aku cakap apa yang ada dalam hati aku. Dia angguk-anggukkan kepala.


“Hani betul-betul tak sangka yang encik akan cakap macam ni. Kita baru je kenal. Takkan begitu mudah encik sukakan Hani? Tapi kalau betullah, Hani respect sebab encik berani berterus terang. Cuma… Hani tak tahu nak cakap apa buat masa sekarang ni… benda ni macam terlalu drastik… Hani harap encik faham!” aku hadiahkan senyuman manis buat dia. 


Orang yang dah lama kenal dengan aku pun susah aku nak terima inikan dia. Biarlah masa menentukan segalanya. Aku ke mari untuk latihan praktikal bagi melengkapkan lapan semester yang harus aku lalui sebelum tamat belajar. 

Aku tak terfikir mahu mencari cinta di sini. Kalau dia nak berkawan dahulu dengan aku apa salahnya. Kalau tak, confirm mama dan papa akan carikan aku jodoh. Waaaa… tak mahulah kena kahwin dengan orang yang langsung aku tak kenal!


Tapi apa salahnya kalau aku dengan dia berkawan dulu, kan? Berkenal-kenalan. Mana tahu dia ni memang jodoh yang telah ditentukan untukku? Tak boleh nak sombong sangat, betul tak?


“Kalau kita berkawan dulu boleh tak?” Lepas cakap macam tu aku terus tutup mulut. Astaghafirullah al-Azim, macam manalah aku boleh keluarkan ayat macam tu. Lagi sekali aku rasa muka aku panas.


Tapi orang depan aku ni senyum je dengar kata-kata aku tadi. Senyum senget yang bisa mencairkan hati aku tu dah kembali. Yeayyy


“Okay, deal… kita kawan dulu. Panggil Abang Ayie… jangan berencik-encik dengan abang.” Dia sambung senyum-senyum. Happy sangat ke bang? Hehehe


Kita orang berjalan bergandingan menuju ke ofis. Berjalan dengan santai dan perlahan sebab masih banyak masa lagi sebelum waktu kerja bermula. Pelik pulak, lepas dia luahkan apa yang ada dalam hati dia tadi aku rasa berdebar-debar. Macam ada satu perasaan indah yang menyelinap dalam hati sanubari aku ni. Adakah ini kerana aura dia yang sedang bergandingan dengan aku ketika ini? Ada rasa bahagia yang menghuni dadaku. 


“Haniiii…” Tiba-tiba je ada suara yang menjerit panggil nama aku. Toleh je ke kiri aku nampak Nina sedang berlari ke arah aku, rapat di sebelah kanan aku ada Umar Azharie. Kami sedang menunggu jalan lengang sedikit untuk melintas ke sebelah sana.


Nina ni berlari laju sangat dan nak sampai dekat aku kaki dia tersadung dan dia tertolak aku yang dalam keadaan tak bersedia. Kejadian tu berlaku terlalu pantas dan sedar-sedar je aku dah berada dalam rangkulan Umar Azharie yang juga terdorong beberapa langkah ke belakang. Malang bagi Nina, dia langsung tergolek kat bahu jalan! 


“Ninaaaa…” Aku berlari nak bantu Nina yang sedang mengiring, cuba nak bangun. Nasib baik dia pakai seluar panjang hari ni. Kalau dia pakai skirt macam kebiasaannya tu habislah. Tak dapat aku nak bayangkan.


“Tolong aku Hani… malunya.” Nina dah macam nak menangis sebab ramai yang sedang perhatikan dia di sini. Yang dalam kereta pun memperlahankan kenderaan masing-masing, nak tengok apa yang terjadi.


Nina bangun dan peluk aku, lepas tu aku tahan kereta yang lalu agar berhenti dan memberi kami laluan. Dengan pantas dan laju aku dan Nina terus menuju ke ofis. Aku tak ingat dah fasal Umar Azharie yang bersama dengan aku tadi.


Dah setengah jam waktu kerja bermula, Nina masih mengongoi kat dalam tandas. Puas dah aku pujuk dia. Aku dah check kaki dan tangan dia, tak ada kecederaan yang teruk pun. Cuma ada kesan calar kat tapak tangan kanan dia. Pakaian dia pun tak koyak, cuma kotor sikit je, itupun aku dah lapkan dengan tisu basah tadi. Rasanya Nina tu tak ada masalah apa-apa, malu je kut. Lebih-lebih lagi sebab Umar Azharie ada kat situ tadi.





No comments:

Post a Comment