Friday 11 March 2016

Cinta Infiniti - Bab 3



Bab 3




Erm, Mr. Danny? Mesti bukan Melayu ni. Agaknya Cina kut, sebab selalunya Bahagian Kewangan banyak yang diuruskan oleh mereka. Maklumlah, Orang Cina cukup cekap dengan angka.


Come in!” Satu suara jelas kedengaran dari dalam sebaik Doris mengetuk pintu bilik kaca tu. Aku rasa orang kat dalam tu nampak je kami kat luar ni. Tapi sajalah kut, nak ikut protokol ataupun nak jaga gengsi. Sengaja buat-buat tak nampak kat kami ni. Mentang-mentanglah dia ada bilik sendiri. Hrmmm


“Selamat pagi Mr. Danny. Ini intern dari Uitm tu… lapor diri hari ni!” ujar Doris sambil bergilir pandang aku dengan Suhaina dan juga encik yang berkulit putih kuning tu. Encik tu bermata agak sepet, nama pun tak macam Melayu. Sah bukan Melayu ni, aku buat tanggapan dalam hati.


“Selamat pagi. Terima kasih Doris. You may go now.” Tanpa sebarang senyuman encik tu mengarahkan Doris pergi. Maka terpacaklah aku dengan Suhaina kat depan meja encik tu.


“Silakan duduk…” Fasih pun cakap Melayu. 


Kali ni aku dengan Suhaina duduk menghadap encik ni pulak, tadi kami menghadap Puan Rosmila. Lepas ni kena menghadap siapalah pulak agaknya. Apa nak buat, demi melengkapkan pengajian selama lapan semester di universiti kenalah aku dan Suhaina lalui juga praktikal di sini. Karang tak lulus pulak


Lagipun bukan aku seorang yang kena menjalani latihan praktikal, kan? Semua pelajar kelas aku yang lain pun sama. Aku ni dikira bernasib baik sebab dapat dekat Shah Alam je. Dengarnya ramai yang dapat tempat praktikal luar dari Negeri Selangor. Lagi parah. 

Jadi aku patut bersyukur dan menghadapi apa jua rintangan yang mendatang demi melengkapkan praktikal aku di sini nanti. Alhamdulillah.


“Saya Danny Abdullah, pengurus di sini. Lulusan London School of Economics. Selamat datang ke Bahagian Kewangan dan sila perkenalkan diri.” Dia pandang tepat wajah aku sebaik habis berkata-kata.


Tetiba je aku rasa terkejut dan tergamam. Baru aku berdeham nak membetulkan suara aku dengar suara Nina a.k.a Suhaina. Terkejut aku dengar dia sebut London tadi, tu yang aku tergamam. Hehehe


Habis Nina perkenalkan diri Mr. Danny tu pandang kat aku balik. Baru aku nampak dengan jelas wajah dia, mata dia taklah sepet sangat. Dia handsome juga orangnya cuma aku rasa dia ni jenis lokek senyuman. Muka dia nampak ketat je, macam sombong pun ya jugak.


“Nama saya Farhani Idayu binti Ahmad Muhsin. Pelajar perakaunan di Uitm, Shah Alam. Menetap bersama keluarga di Putrajaya.” Aku habiskan kata-kata. 

Kat depan Mr. Danny tu dah sah-sah ada satu set salinan resume dan profil kita orang. Membazir air liur je kut nak terangkan panjang-panjang. Selebihnya biar dia baca sendiri, itupun kalau dia berminat nak tahu.


“Dah kahwin?” Dia tanya dengan muka serius kat aku.


Erkkk… be… belum encik, tuan… err… Mr. Danny.” Tergagap-gagap aku dibuatnya. Aku nampak dia tersengih sikit dan aku sempat jeling Nina kat sebelah yang tengah tunduk sambil gelakkan aku. Hampeh.


“Betul ke belum kahwin?” dia tanya dengan muka serius. Cepat-cepat aku anggukkan kepala. Sah dia sengaja nak buli aku, dekat resume tu sah-sah marital status aku adalah single!


“Bila nak kahwin?” Sengalnya soalan, aku kena jawab jugak ke ni?


Aku pandang dia dan dia pandang aku balik. Mata bertentang mata, perlahan aku jatuhkan pandangan. Haish!


“Jodoh dah sampai nanti saya kahwinlah.” Aku jawab seperlahan yang boleh dan aku boleh dengar Nina gelakkan aku walaupun suara dia memang perlahan. Tapi aku boleh nampaklah bahu dia yang terhinggut-hinggut menahan gelak daripada terlepas.


“Dah ada boyfriend?” Dia tanya lagi. Terkedu aku dibuatnya. Tak aciiii…!  Nina tak kena teruk macam aku pun! Aku menggeleng dengan muka yang dah macam nak menangis. 


“Jangan mengaku tak ada boyfriend, saya mengurat nanti tetiba je kata ada boyfriend pulak!” Erkkk… dia ni bukan dah kahwin ke? Eiii… gatal jugak rupanya bos Bahagian Kewangan ni. Malangnya nasib aku kalau dia betul-betul mengotakan apa yang dia kata. Buatnya dia memang womanizer mati aku! Tengok gaya muka tu memang ada tokoh jadi buaya darat!


“Betul tak ada boyfriend ni?” dia tanya lagi sambil pandang kat aku yang dah mati rasa kat depan ni. Aku hanya mampu menggelengkan kepala. Aku nampak dia sengih. Kurang asam!

 

Kami berada dalam bilik Mr. Danny tu sampailah waktu rehat makan tengah hari. Dia terangkan berkenaan carta organisasi dan job function keseluruhan Bahagian Kewangan. Aku dengar je dia bercakap, tak berani nak angkat muka sebab setiap kali aku angkat muka dan pandang dia masa tu jugaklah mata dia pandang aku. Malu gila aku rasa nak bertentang pandang dengan dia.


“Silakan berehat dan makan tengah hari. Kalau tak nak makan berat-berat ada biskut di pantri. Minuman juga disediakan… tapi kena buat sendirilah. Jumpa lagi sejam dari sekarang.” Dia pandang jam kat tangan dia. Lawa jam dia, pasti tak murah tu.


Aku dengan Nina minta diri dan keluar dari bilik dia. Lega rasanya dapat meloloskan diri daripada renungan mata dia tu.


“Kita nak lepak kat mana ni?” Nina tanya aku, macamlah aku ni pekerja senior kat sini. Apparaaa


“Nak keluar makan ke?” Seorang perempuan yang nampak riang dan ceria menegur.


Eh, lupa pulak, saya Nurin… PA to Mr. Danny…” Dia hulur tangan bersalaman dengan aku dan Nina. Kami pun perkenalkan diri masing-masing.


“Kalau tak nak keluar makan duduk je kat ofis. Ha, lepak kat bilik ni…” Dia berjalan mendahului kami, menuju ke bilik di sebelah bilik Mr. Danny. Aku dan Nina mengekori langkahnya.


“Nanti lepas waktu rehat jumpa Mr. Justin ya, biasanya dia yang akan brief pelajar praktikal!” Nurin tu cakap sambil senyum. Aku suka tengok perwatakan dia ni, ceria.


“Tapi Mr. Danny suruh masuk jumpa dia balik lepas ni!” aku masih ingat arahan Mr. Danny tadi.


Iya ke? Erm… tadi kat dalam Mr. Danny cakap fasal apa?” Nurin tanya dengan wajah berkerut.


“Dia terangkan tentang carta organisasi dan juga job function pekerja Bahagian Kewangan…” memang itulah yang Mr. Danny ceritakan tadi. Semua yang berkenaan dengan Bahagian Kewangan dan juga para pekerjanya. 


Hah? Dia yang terangkan? Ishkfree sangat ke dia hari ni?” Nurin garu-garu kepala dia. 


Erm… tak apalah. Pergilah rehat, nak ikut keluar makan ke?” Nurin tanya dengan nada prihatin. Pada pemerhatian aku dia ni baik dan ambil berat orangnya. Sesuailah dengan jawatan dia sebagai PA tu gamaknya.


“Tak apalah… kami masih kenyang lagi. Surau kat mana ya?” aku ambil kesempatan bertanya. Puan Rosmila ada beritahu tadi kedudukan surau. Tapi sekarang ni aku confuse pulak, tingkat 1 ke tingkat 2 ya.


“Surau kat tingkat 1, berhampiran dengan HR!” Nurin jawab dan kemudian dia terkocoh-kocoh berlalu apabila seorang pekerja perempuan memanggilnya. Sempat jugalah dia buat isyarat dengan tangan dan tunjuk pintu keluar.






Waktu rehat tu lepas lepak seketika dalam bilik mesyuarat kecil tu dengan Nina aku solat zohor siap-siap kat surau yang terletak di tingkat satu. Aku terjumpa dengan Puan Rosmila, Pengurus HR tu. Dia menegur aku dengan ramah dan memperkenalkan aku dengan pekerja-pekerja lain yang turut berada dalam surau.


Masa nak keluar dari surau aku bertembung dengan encik bermata cantik yang belanja aku dan Nina makan pagi tadi. Dia senyum dan anggukkan kepala kat aku, dia baru nak masuk surau.


Wah…! Handsome dan menjaga solat. Kerja pun bagus, tentu berkat hidup dia sebab tu aku lihat wajah dia tenang dan berseri je. Tiba-tiba je aku buat rumusan sendiri.


Masa aku sampai balik dalam bilik mesyuarat kecil tu Nina dah tak ada. Aku kerling jam, ada lima minit lagi sebelum waktu kerja bermula. Nina pergi tandas kut.


“Farhani Idayu masuk bilik bos…” Nurin tegur aku yang baru je duduk tak sampai beberapa saat.


“Terima kasih Cik Nurin…” Aku bangun dan berjalan ke arah bilik Mr. Danny. Masa berdiri kat depan pintu kaca bilik dia tu aku nampak Nina dah ada kat dalam tu. Sedang duduk di depan meja Mr. Danny.


Pintu kaca tu terbuka dan aku nampak muka Mr. Danny terjengul di situ. Tadi aku sibuk betul-betulkan baju kurung aku yang berkedut di sana sini.


“Masuk!” Dia buka pintu luas-luas dan buat isyarat tangan suruh aku masuk.


“Dari mana?” Dia tanya aku sebaik ambil tempat kat kerusi dia, aku pun masa tu baru je duduk kat sebelah Nina.


“Surau…” aku jawab perlahan. Takkan dia nak marah kut, waktu kerja belum pun bermula. Dia ni yang super punctual.


“Bagus, patutlah wajah berseri, cahaya keimanan rupanya…” Cehh… itu komen dia sambil lemparkan senyuman. Tapi entah kenapa dia tetap nampak keras dan berlagak di mata aku. Gayanya tulah.


Kalau kita rajin berwuduk, muka boleh jadi berseri. Seri dalaman. Itu yang orang selalu kata. Tapi aku taklah kata yang muka aku ni berseri-seri. Walaupun aku tak peramah tapi aku jenis rajin tersenyum. Kan senyum tu adalah sedekah. Tak dapat sedekah dengan wang ringgit dan harta benda, sedekah senyuman pun jadilah. Sedekah juga tu!


“Kita sambung semula penerangan saya tadi, lepas tu boleh sambung dengan staf saya yang lain.” Dia buka fail depan dia dan mula bercakap. Aku dengar dengan teliti, sesekali bahasa baku dia keluar tetapi penerangannya tetap menarik hati dan disampaikan dengan baik sekali. Memang dia ni berkarisma sebagai seorang bos, disebalik ketegasan ada kepintaran yang tersembunyi. Ceh… bukan main lagi rumusan aku!


 “Ermm… saya akan letakkan awak berdua di bawah seliaan staf saya. Sekejap ya.” Dah sejam lebih aku dan Nina menghadap muka dia, dari waktu lepas rehat tadi lagi. Dia interkom seseorang dan tak lama kemudian pintu bilik diketuk. 


Come in… Justin, ni ada dua orang intern lapor diri. Ermm… sila ikut Mr. Justin ya.” Mr. Danny tu pandang aku dan Suhaina lepas bagi arahan pada staf dia tu.


Mr. Justin tu bukanlah seperti Justin Bieber pun rupa dia. Dia berkulit sedikit gelap dan bercermin mata yang agak tebal. Handsome jugaklah.








No comments:

Post a Comment