Wednesday 24 February 2016

Kahwin Kampus - Bab 9






  
     Bab 9





Balik rumah aku kena ceramah dengan ayah. Kalah Forum Perdana di televisyen bila sekali ayah mula bersuara. 


Rupanya Abang Shah patah balik ke rumah sebab aku tertinggal beg kertas yang berisi majalah yang aku beli di KLCC. Masa itu Mak Yam dengan gabranya memberitahu yang aku telah dilarikan oleh seseorang yang menaiki kereta BMW berwarna silver


Cekap juga Mak Yam sebab dia sempat tengok plat nombor kereta tu. Rupanya dia sempat perhatikan dari dalam rumah kejadian Abang Faez tolak aku masuk dalam kereta itu. Masa Mak Yam keluar nak jerit panggil aku, dia dah terlambat sebab kereta tu dah berlalu pergi. 


Maka menjerit-jeritlah jiran aku itu memberitahu Abang Shah. Sebaik sahaja ayah aku balik dari pejabat tadi Mak Yam sekali lagi mengulang kisah sadis tersebut. Entah berapa puluh kali ayah cuba hubungi aku tetapi panggilan tidak berjawab. Nak jawab macam mana kalau Abang Faez letak handphone aku dalam poket kot dia. 


Lepas isyak ayah suruh aku kemas kain baju. Apabila aku tanya sebabnya ayah cuma kata jangan banyak tanya. Ayah nak halau aku pergi mana ni? Bukan salah aku kes petang tadi berlaku. Aku ikut Abang Faez bukan dengan rela hati. Dia paksa. Sampai hati ayah nak buang daerah diriku ini. Sob… sob… sob… 


Dalam kereta. ayah langsung tak bercakap. Marah sangat dengan aku la ni. Sedih rasa hati. Terasa seperti dianak tirikan. Tahulah ayah dah ada pengganti emak, takkan sebab itu dah berkurang kasih sayang dia untuk aku? 


Asyik melayan rasa sedih akhirnya ayah memberhentikan kereta di halaman rumah nanny. Pintu pagar besar depan rumah nanny ini memang dah sedia terbuka. Seolah-olah menyambut kehadiran kami. 


Aku turun apabila Abang Shah bukakan pintu kereta. Dia sedang bersantai atas kerusi batu di tepi halaman rupanya. Konon tengah tengok bulan dan bintanglah tu. Bajet dia sedang berada di gurun ke? Erm… 


Aku jawab salam dia sambil buat muka seposen. Dia gelak tengok aku dan lepas itu pergi salam ayah. 


Nanny dan mak cik menyambut kehadiran kami di pintu rumah. Sebaik bertukar sebutan salam nanny terus peluk aku dan lepas itu tarik aku ke sofa di ruang tamu. Sekejap masa saja kami semua dah mengambil tempat di sofa. Mak cik lepas salam aku tadi terus menghilang ke dapur. Sah dia tengah buat air minumanlah tu. 


“Maaflah mak, terpaksa menyusahkan mak pulak. Amin terpaksa tumpangkan Ika kat sini. Risau kalau budak itu datang lagi!” 


“Tak mengapalah Amin. Ika cucu mak juga… menetap kat sini terus pun tak apa. Mak lagi suka, ada juga kawan mak berborak.” Nanny peluk dan usap bahu aku. 


Walaupun nanny ini tidak mempunyai sebarang hubungan biologi dengan aku namun dia menganggap aku sebagai cucunya sendiri. Pada nannylah aku banyak menumpang kasih dan sayang selama hari ini. 


“Jaga diri baik-baik Ika. Kalau boleh ayah tak nak Ika keluar. Duduk je diam-diam kat sini. Risau ayah kalau Ika duduk sorang-sorang kat rumah kita tu…” Itu pesanan ayah sewaktu aku bersalaman dengannya. 


“Tapi berapa lama ayah?” Takkan aku kena duduk sini sampai habis cuti semester. Lama juga, dekat-dekat sebulan jugalah. 


Ayah garu kepala dengan jari telunjuk. Gaya macam ayah pun tak tahu sampai bila aku harus terus bermastautin di sini. Dulu-dulu okey kut, Abang Shah tak ada. Ini dia ada, susahlah sikit aku nak bergerak bebas di rumah ini. 


“Nanti ayah bincang balik dengan nanny!” Itu sahaja jawapan ayah. Lepas itu ayah minta diri dan aku hanya perhatikan sehinggalah kereta ayah hilang daripada pandangan. 


“Ika naiklah berehat. Guna bilik yang Ika biasa tu…” Nanny beri arahan sebaik aku melangkahkan kaki ke dalam rumah semula. Aku anggukkan kepala dan angkat beg pakaian. Perlahan aku melangkah menaiki anak tangga. 


Masa aku masuk ke dalam bilik, pendingin hawa telah pun dipasang. Cadar dan sarung bantal bercorak bunga ros dan bertanah warna krim sudah siap dibentang atas katil. Aku tercium wangian Downy. Mesti dari cadar yang baru diganti ini agaknya. 


Aku keluarkan pakaian dan masukkan dalam almari. Separuh daripadanya aku sangkut dengan hanger. Yang lain-lain aku susun dalam laci. 


Siap berkemas aku mandi dan lepak kejap atas katil. Terkebil-kebil mata pandang siling. Hilang rasa mengantuk apabila bersiram dengan air tadi. 


Ugh, bosannya. Baik aku layan Facebook ataupun melayari blog penulisan. Boleh juga release tension baca e-novel. Aku bangun dan cari beg laptop. Mana eh


Jenuh aku jengah sana sini dalam bilik ni. Tak ada. Alamak… baru aku ingat. Aku angkat beg sandang dengan beg pakaian saja tadi. Haruslah beg laptop itu masih lagi di ruang tamu. Haish


Dengan terjengket-jengket aku menjenguk keluar. Tingkat atas ini dah gelap. Hanya lampu samar di ruang menonton itu yang dihidupkan tapi tiada sesiapa di situ. Aku yakin semua orang dah tidur sebab jam dah menunjukkan angka 12:30 malam. 


Selamat, aku keluar dan berjalan menuju ke ruang tamu di tingkat bawah. Sama macam keadaan di atas ruang bawah ini pun malap dengan hanya lampu di ruang dapur yang dipasang. Sebabnya bilik mak cik dan nanny berada berhampiran situ. 


Dengan tahap keyakinan yang tinggi aku keluar bilik tanpa bertudung kepala. Lagipun rambut aku basah, baru lepas disyampu. Aku beranikan diri ke ruang tamu. Malas nak pasang lampu maka aku tercari-cari dalam samar cahaya lampu jalan. Aku pejam celikkan mata, nak sesuaikan mata dengan kadar kegelapan di sini. 


Aku ingat lagi kat mana aku sandarkan beg laptop tu. Di tepi almari hiasan setinggi enam kaki, di sudut ruang tamu. Hah, ada pun! Jelas nampak beg hitam itu di pandangan mata aku. Err… memang jelaslah, sebab suasana terang-benderang. 


Aku toleh atas. Automatik ke lampu ni? Kalau ya kenapa tak menyala masa aku teraba-raba mencari tadi. Tak efisienlah macam ini. Aku paling belakang, nak naik balik ke bilik. 


“Mak!” Aku terjerit kecil. Cepat-cepat aku tutup mulut dengan tapak tangan kiri. Abang Shah tengah tersengih pandang aku. Tuala yang tersangkut di bahu cepat-cepat aku letakkan atas kepala. Tak kisahlah senget-benget pun asalkan aku dapat tutup rambut. 


“Buat apa dalam gelap?” Dia tanya. 


“Ambil ni…” Aku tunjuk dengan muncung kat beg laptop di tangan kanan. 


“Nak online? Tak mengantuk lagilah ni?” 


“Taklah, nak buat kerja sikit.” Aku berdalih. Suka hati akulah nak online ke apa. Tengah cuti kut. 


“Buatkan abang air kopi boleh?” Dia buat permintaan. Tak sempat aku nak minta diri. 


“Okey, Ika naik atas hantar laptop dulu.” Dia angguk kepala dan aku bergegas ke atas. Takkan aku nak tolak permintaan cucu tuan rumah ni. Aku sedar diri; menumpang rumah orang! 


Tak tunggu lama, aku capai tudung sebelum aku kembali turun ke bawah, menuju ke dapur, bancuh kopi untuk Abang Shah. 


Kopi o panas aku letak depan dia yang sedang duduk di meja kecil di ruang dapur. 


“Teman abang!” Dia cakap sambil senyum pada aku. Ala, minum pun nak berteman. Selama ini siapa teman dia? Mak cik ke nanny?
 
“Kenapa tak minum sama?” 


“Dah gosok gigi.” 


Dia senyum dengar jawapan aku. Memang betul pun. Ingat aku rajin nak gosok gigi dua tiga kali malam-malam macam ni? Lainlah kalau ada orang boleh tolong gosokkan. 


“Abang suka Ika tinggal kat sini…” 


Aku senyum segaris. Masalahnya aku tak suka! Sini bukan kawasan jajahan aku. Walaupun aku memang dah biasa bermalam di sini tapi aku seribu kali lebih selesa berada di rumah sendiri. 


Kalau di rumah sendiri, waktu cuti macam ini aku akan habiskan masa dengan menonton. Sampai jauh malam. Esoknya aku akan sambung tidur sampai tengah hari. Tak ada siapa yang larang sebabnya aku seorang diri sahaja di rumah. Tapi di sini? Erm… punahlah harapan aku nak membuta sahaja. 


“Abang tahu Ika tak suka tinggal kat sini…” Dia sambung cakap sambil tunjuk muka seposen. Aku julingkan mata ke atas. 


“Nanti abang bawa Ika jalan-jalan eh? Cakap je Ika nak pergi mana.” 


Aku rasa dia nak menghiburkan hati aku saja setelah apa yang berlaku petang tadi. Hari yang penuh dengan dengan kejutan. Tadi di depan nanny, ayah buka kisah dia nak kahwin. Dalam waktu terdekat ini katanya. Ayah nak buat majlis kecil-kecilan untuk rakan-rakan dan jiran tetangga selain daripada nanny sekeluarga. 


Ayah tak bincang dengan aku satu apa pun. Kalau tak sebab aku ada sama di ruang tamu tadi tentu aku tak tahu pun fasal perancangan perkahwinan dia itu. Sedih kut. Terasa seperti melukut di tepi gantang sahaja. 


“Kenapa muka monyok je ni? Fasal Faez ke fasal ayah?” 


“Dua-dua.” 


“Ika tak suka pak cik kahwin?” Dia renung muka aku. 


“Entahlah… tapi kenapa sekarang?” 


Kenapa tak kahwin masa aku memerlukan seorang emak? Emak meninggal masa aku di sekolah tadika. Aku berdikari dan menguruskan diri sendiri seawal aku di sekolah rendah. Aku tumpang makan di rumah Mak Yam. Dialah yang jaga aku sementara ayah pergi bekerja. Kalau ayah out-station aku tidur di rumah Mak Yam. Siang aku akan balik ke rumah, macam tulah rutin harian aku sehinggalah aku masuk asrama masa tingkatan 1. 


“Ika, jodoh tu kan rahsia Allah SWT? Kena yakin dengan perancangan-Nya.” 


“Bukannya Ika nak menentang kehendak takdir, cuma hairan je la. Dah dekat-dekat nak pencen baru nak kahwin, pelik jugak.” Tidak dapat tidak aku berfikiran negatif. Perempuan itu nak menumpang senang. Ayah tak perasan ke? 


“Sebab pak cik dah nak pencenlah dia perlukan teman. Ika kena faham perasaan pak cik. Kalau Ika dah habis belajar, dah kerja… lepas tu pulak berumah tangga. Mesti Ika akan tinggalkan pak cik, kan? Sebab tu dia cari teman. Untuk saling menjaga satu sama lain.” 


Aku terdiam. Memang apa yang Abang Shah katakan ini logik dan masuk di akal fikiranku ini. Cuma, kenapa sekarang? 


“Ika bayangkan… kalau pak cik kahwin masa Ika baru kehilangan emak, kena pulak dapat isteri yang tak sukakan Ika, apa jadi? Mana tahu Ika didera? Entah-entah berparut sana sini kena simbah air panas. Sekarang ini Ika dah besar, abang tahu Ika mampu jaga ayah di masa akan datang. Tapi ada sesetengah perkara seorang anak tak boleh lakukan untuk ayahnya. Jagaan seorang isteri diperlukan. Abang rasa memang sesuai pak cik kahwin sekarang sebab Ika berpeluang untuk kenal Aunty Siti tu dengan lebih rapat. Kalau Ika yang kahwin dulu tentu hubungan Ika dengan Aunty Siti tak rapat. Sebab Ika dah sibuk dengan keluarga sendiri.” 


“Nak kenal rapat apanya? Tak lama lagi ayah bertukar ke Sabah. Macam tu ke nak merapatkan silaturahim?” Aku cebik. 


“Belajar bertolak ansur Ika. Belajar reda dengan qadak dan qadar. Jangan fikir bukan-bukan. Positifkan minda, nak orang layan kita dengan baik, kita harus mulakan. Tak salah kalau Ika mengalah. Apa salahnya sekali dalam hidup Ika bahagiakan pak cik? Reda Allah SWT terletak pada reda ibu bapa terhadap kita. Ingat tu!” 


“Habis tu kenapa pulak ayah nak halang Ika dengan Abang Faez?” Aku dengar Abang Shah mendecit. Lepas dia dia bawa muk ke mulut dan sisip perlahan kopi o di dalamnya. 


There must be a reason, Ika. Kena tanya pak cik sendiri. Hanya dia yang ada jawapannya.” Mudah jawapan Abang Shah. 


Hendak bertanya dengan ayah? Baru sebut nama Abang Faez muka dia dah merah. Macamlah menyebut nama itu seumpama menyeru malaikat maut. 


“Tapi tadi… Tan Sri tu sebut nama Zurainah. Itu nama mak Ika. Abang rasa dia kenal mak Ika ke?” 


“Ye ke? Abang tak perasan pulak… Ika salah dengar kut!” 


Aku gelengkan kepala. Telinga aku belum pekak. Aku dengar dengan jelas segala kata-kata Tan Sri tadi. Lagipun masa Tan Sri itu sebut nama arwah mak dia macam tergagap-gagap. Macam nampak hantu saja gayanya. Ke, muka aku ini sebijik iras muka arwah mak? Tapi rasanya taklah kut. Arwah emak jauh lebih cantik dan manis daripada aku. 


Ah, Abang Faez! Pandai betul menyorokkan identiti keluarga dia. Aku hanya tahu papa dia ada syarikat sendiri tapi aku tak jangka ia sebuah syarikat pembinaan kelas A G7. Lebih tak sangka lagi apabila ayahnya bergelar Tan Sri. 


Kalau dalam novel tentunya keluarga dia tak suka dia pilih aku sebagai pasangan. Tentu keluarganya sudah ada pilihan untuk dia. Anak dara daripada kalangan kenalan atau rakan niaga yang sekufu, itu yang sepadan dengan Abang Faez pastinya. 


Kalau aku kahwin juga tentu susah aku hendak menyesuaikan diri. Susah hendak berada dalam kalangan keluarganya. Lebih-lebih lagi apabila keluarganya pandang rendah dan tak sukakan aku. Tentu merana hidup aku nanti. Masa ini aku terbayang kena buat semua kerja di rumah dia nanti. Macam kisah dongeng Cinderella tu. Tapi itu Cinderella, kalau aku? Memang tak relalah! 


“Berangan je…” Kepala aku terdorong ke belakang. Kena tunjal dengan jari telunjuk Abang Shah. Aku tepis tangan dia dan pegang dahi. 

“Shah! Ika! Buat apa tu? Kenapa tak tidur lagi?”
 

Kami berdua menoleh ke arah datangnya suara tersebut. Nanny sedang pandang kami berdua dengan mata bulat. Perlahan Abang Shah tegakkan badan. Tadi dia berdiri sambil bongkokkan badan semata-mata nak tunjal kepala aku. Muka dia dengan muka aku hanya berjarak beberapa inci saja. Jangan nanny ingat kami tengah buat benda tak senonoh sudahlah. Sebabnya, lain macam saja air muka nanny tu. 


“Kami berbual-bual kosong je nanny.” Abang Shah habiskan air dalam muk dan bawa ke singki. 


“Ika naik dulu, selamat malam nanny, Abang Shah! Assalamualaikum…” 


Aku minta diri dan terus berlalu dari ruang dapur. Seram aku tengok muka tegas nanny


No comments:

Post a Comment