Bab 6
Ayah belikan aku nasi lemak berlauk pagi
ini. Aku teringin juga nak buat sarapan tapi dalam peti ais tak ada bahan
mentah. Aku makan nasi lemak sambil ditemani oleh ayah. Dia dah bersarapan
dengan kawan-kawan tadi katanya.
“Ayah
nak bincang dengan Ika sikit. Fasal Aunty Siti…”
Baru
dua suap aku makan nasi lemak berlauk daging rendang ini. Aku letak sudu atas
pinggan. Nak fokus dengar kata-kata ayah.
“Ayah
dengan Aunty Siti merancang nak berkahwin tak lama lagi.” Akhirnya
teka-teki aku berjawab. Yang tak bestnya tekaan aku benar belaka.
“Lagi
satu, ayah kena bertugas di Kota Kinabalu tak lama lagi. Dah banyak kali ayah
tolak tapi nampaknya kali ni ayah tak boleh menolak lagi. Ayah kena pergi juga
Ika.” Tanpa menunggu aku berkata-kata ayah sambung cakap.
Oh,
bagusnya! Ayah nak kahwin dan lepas itu bertukar tempat kerja pula. Jadi,
bagaimana dengan aku?
“Ayah
dah bincang dengan nanny dan mak long. Ika boleh balik ke rumah mereka
setiap kali cuti ataupun Ika boleh ke Kota Kinabalu?”
Aku pun
tak tahu nak cakap apa dah. Ayah cuma memberitahu rancangan dia dan bukannya
meminta pendapat. Aku hanya mampu dengar sahaja. Tak ada kuasa untuk membantah
mahupun melarang.
“Bila
ayah nak kahwin?”
“Sebelum
ayah bertukar ke Kota Kinabalu.” Ayah pandang aku dengan muka bersinar bahagia.
Mungkin ayah sangka aku bersetuju dengan rancangannya untuk berkahwin. Aku
bukannya bersetuju, aku bertanya sebab nak tahu perancangan ayah.
“Ayah
dah tak ingat arwah mak?” Rasa sebak masa aku cakap macam ni. Selama ini ayah
kata dia sayangkan arwah emak. Sebab itu tak sanggup nak kahwin lain.
“Arwah
emak Ika tetap ada dalam hati ayah sampai bila-bila. Dia cinta pertama ayah, tak
mungkin ayah mampu melupakannya. Tapi Ika… ayah sunyi. Ayah perlukan teman. Ayah nak kahwin bukan kerana nafsu,
tetapi ayah mahukan teman untuk menghabiskan hari-hari tua ayah.”
Ah,
alasan! Aunty Siti itu pun pandai. Umur ayah dah nak mencecah 50 tahun.
Tak lama lagi ayah pencen, tentu banyak duit yang ayah akan dapat. Bolehlah dia
menumpang senang, kan?
“Habis
Ika macam mana?”
“Tak
ada apa yang berubah Ika. Ika tetaplah anak ayah… masih di bawah tanggung jawab
ayah.”
Mudahnya
ayah bercakap. Tak ada apa yang berubah? Mana mungkin! Apabila ayah berkahwin
lain pasti banyak yang akan berubah. Aku akan dapat emak tiri. Aku akan
berkongsi kasih sayang ayah dengan orang lain. Akan ada orang lain yang bakal
mendiami rumah ini. Menggunakan barang-barang di rumah ini. Mampukah aku
berkongsi hidup dengan orang yang aku tak kenal? Yang aku tidak tahu siapa
sebenarnya dia? Perangainya?
“Aunty
Siti tu kawan lama ayah sewaktu di universiti dahulu. Arwah emak Ika pun
kenal dia. Dia pun macam ayah juga, keseorangan dan dia tak pernah berkahwin.”
‘Tak
pernah berkahwin? Wah, anak dara la ni… anak dara tua.’ Aku berbisik dalam
hati.
Selalu
aku dengar kalau anak dara berkahwin dengan lelaki yang dah ada anak macam ayah
ini mereka agak susah untuk menerima anak tiri. Yalah, selagi tidak pernah
bergelar seorang ibu pastinya mereka tidak dapat menyelami kelembutan hati dan
perasaan kasih sayang sebagai seorang ibu. Itu yang ada kes anak tiri kena
dera.
Tapi
dalam kes aku ini, erm… aku dah besar panjang kut. Takkan pula aku akan
didera. Aku tarik nafas. Lelah nak fikir semua ini. Ke aku yang patut dera Aunty
Siti itu nanti?
Erm…
entahlah! Tapi berita ini memang mampu membuatkan aku jadi terkejut dan susah
hati pada masa yang sama.
“Ayah
harap Ika setuju, ayah kahwin dengan Aunty Siti…” Perlahan suara ayah,
bercakap sambil pandang muka aku.
“Ika juga berharap yang ayah akan setuju Ika teruskan
hubungan dengan Abang Faez.” Aku ambil kesempatan menangguk di air keruh.
Peliknya muka ayah jadi merah.
“Ika
masih berhubungan dengan dia?” Dengan suara tertahan-tahan ayah tanya aku.
Hanya anggukan sebagai jawapan.
“Kenapa
Ika ni degil sangat?” Kecut perut aku dengar suara tegas ayah.
“Ika
bukan degil. Ika harap ayah faham yang Ika sukakan Abang Faez. Dia seorang yang
baik. Ayah belum betul-betul kenal dia lagi. Sebab tu ayah tak sukakan dia.
Kalau dah kenal nanti Ika yakin ayah akan suka dan terima dia.”
“Terima
dia sebagai menantu? Jangan haraplah!” Kuat suara ayah bercakap.
“Bagilah
kami peluang ayah. Ika suka Abang Faez macam ayah sukakan Aunty Siti!”
Aku main belasah saja cakap. Tapi aku yakin ayah memang betul-betul sukakan Aunty
Siti. Alah, tengok cara dia pandang Aunty Siti pun aku dah tahu.
Sepanjang masa ayah tersenyum kalau dengan Aunty Siti.
“Susah
bercakap dengan Ika ni. Tak faham-faham! Sejak bila pulak jadi degil ni? Dah
pandai nak membantah kata-kata ayah? Nak jadi anak derhaka ke apa ni?”
“Ika
bukan nak jadi anak derhaka, tapi salah ke kalau Ika nak pertahankan hubungan
kami? Ayah… tolonglah beri kami peluang. Tolonglah faham!” Aku dah tahap merayu
dah ini. Hilang habis semua perasaan malu aku.
Aku
dengar ayah mengeluh. Tersandar di kerusi sambil pegang dahi. Jangan ayah kena heart
attack sudahlah. Aku tak nak jadi punca ayah dikejarkan ke hospital. Tak nak
jadi anak derhaka. Aku pandang ayah tepat-tepat.
“Panggil
Faez datang, ayah nak jumpa dia!”
“Tapi
ayah, Abang Faez di Kemaman…” Takkan suka-suka hati aku nak panggil dia ke
mari. Bukannya aku ini sultan yang bila-bila masa saja boleh panggil orang datang
menghadap.
“Ajak
dia datang ke rumah tengah hari ni. Kalau dia ikhlas sukakan Ika dia pasti
datang!”
Selamba
ayah bercakap sebelum berlalu tinggalkan aku terkulat-kulat di meja makan.
Nescafe yang aku bancuhkan langsung ayah tak minum. Aku langsung hilang selera
walaupun nasi lemak berlauk daging rendang ini memang sedap rasanya.
Peliknya!
Apabila aku menghubungi dan beritahu yang ayah mahu berjumpa dan makan tengah
hari bersama, Abang Faez terus setuju. Lagi pelik apabila dia sampai di depan
rumah sebelum jam menginjak angka dua belas tengah hari. Laju sangat ke dia
memandu?
Aku
hidangkan minuman dan kek marble di meja kopi. Kami bertiga duduk di
ruang tamu. Ayah dah siap beli hidangan untuk makan tengah hari. Aku cuma
goreng ayam dan tumis sayur sebagai lauk tambahan.
“Faez
kerja di mana sekarang ni?” Itu soalan pertama yang ayah tanyakan setelah
masing-masing berbalas sebutan salam dan berjabat tangan.
Aku
nampak muka Abang Faez yang kelihatan agak cuak. Pasti dia gementar.
“Kerja
dengan syarikat papa di Jalan Imbi.” Aku angkat muka dan pandang dia. Syarikat
papa dia? Jalan Imbi? Eh, Jalan Imbi kat Kuala Lumpur la. Bukankah dia
bekerja di petroleum plant di Kemaman?
“Dah
lama?” Ayah sambung soalan dan kali ini aku pasang telinga betul-betul.
“Sebulan.
Sebelum ni saya bekerja di Kemaman. Terpaksa berhenti kerja dan bantu papa di
syarikat sebab papa uzur.” Persoalan dalam hati aku terjawab. Tapi aku tak puas
hati kerana dia tidak memberitahu aku yang dia dah berpindah kerja ke mari. Aku
nampak ayah senyum sinis pandang aku.
“Faez
dengan Ika ni berkawan yang macam mana?” Ayah pandang tepat wajah dia. Aku
boleh nampak yang Abang Faez tak senang duduk. Dalam keresahan. Aku pun sama
sebenarnya.
“Ika
pergi siapkan hidangan.” Ayah paling kat aku. Ishk… aku nak juga dengar
perbualan mereka. Tapi aku akur, takkan aku nak membantah pula.
Rumah
teres setingkat yang kami diami ini taklah besar mana. Ruang makan utama
bersebelahan dengan ruang tamu, tempat kedua-dua lelaki yang aku sayangi itu
sedang duduk. Tak ada masalah untuk aku mencuri dengar.
Cepat-cepat
aku siapkan meja. Keluarkan jug air dari peti ais dan letakkan teko
basuh tangan atas meja. Lauk-pauk dah siap terhidang di bawah tudung saji.
Pinggan dan cawan pun aku dah letak awal-awal tadi. Aku cuma perlu kemaskan
lagi susunan di atas meja saja lagi.
Baru
gaya nak berjalan ke ruang tamu semula aku nampak Abang Faez dah berdiri.
“Anak pak cik pun taklah sebaik mana. Dia pun keluar
dengan lelaki lain juga, kan? Ingat saya tak tahu? Salah ke kalau saya keluar
dengan perempuan lain? Saya belum kahwin dengan Ika pun. Kolotlah pak cik ni!”
Aku dengar suara Abang Faez melengking kuat.
“Masalahnya
kamu tak jujur! Dan bukan sekali dua pak cik nampak kamu keluar dengan
perempuan lain. Pak cik tak nak Ika menderita!” Ayah ikut berdiri. Aku pula
terpaku di antara ruang makan dan ruang tamu.
“Pak
cik boleh jamin dia akan bahagia kalau kahwin dengan orang lain? Sebagaimana
pak cik pasti dia akan menderita kalau bersama dengan saya?” Abang Faez tentang
pandangan mata ayah dengan penuh berani. Aku nampak muka ayah merah padam.
Kalau
berterusan begini aku yakin sekejap lagi Abang Faez kenyang makan penampar
ayah. Harus tak jadi dia makan nasi.
“Pak
cik nak kamu lupakan Ika…”
“Pak
cik tak berhak nak arah-arahkan saya. Kalau tujuan pak cik panggil saya ke mari
sebab nak pisahkan saya dengan Ika, pak cik silap besar. Saya akan tetap kahwin
dengan Ika walaupun tanpa restu daripada pak cik!” Serentak itu Abang Faez
melangkah keluar dari rumah tanpa memandang ke arah aku yang tegak berdiri di
sini. Aku yakin dia perasan kewujudan aku di sini.
Aku
terpempan. Kaki terasa amat berat untuk melangkah walaupun aku nak sangat kejar
Abang Faez dan halang dia dari pergi. Ayah terduduk kembali di sofa.
Astaghafirullah
al-Azim, aku beristighfar dalam hati. Apa dah jadi ini? Bagaikan baru tersedar
daripada mimpi aku bergegas ke pintu. Kereta Abang Faez dah tak ada. Dia dah
pergi.
“Ika!
Duduk sini!” Ayah panggil aku dengan suara yang kuat.
Perlahan
dan takut-takut aku melangkah ke sofa dan duduk setentang dengan ayah. Mata
ayah pakukan ke wajah aku. Tepat lagi jitu. Berganda rasa takut di hati apabila
tengok ayah bersikap begini. Bagaikan seekor singa yang mahu membaham
mangsanya.
“Faez
tu, dia bukan lelaki yang baik untuk Ika… kurang ajar. Tak hormat orang tua!”
Ayah cakap dengan nada kecewa.
Tapi
aku tak boleh menyalahkan Abang Faez seratus peratus. Tentu ada benda yang ayah
cakapkan kat dia sehingga menyebabkan dia naik angin. Selama yang aku kenal, Abang Faez baik orangnya. Tak pernah meninggikan
suara dengan aku. Sporting. Sweet talker. Apa masalahnya dengan
ayah ini?
“Kalau
dia jujur tentu dia beritahu Ika dia dah pindah kerja di KL, kan?”
Aku
angkat muka dan pandang ayah sekilas. Mulut aku masih diam, terkunci.
“Dah
banyak kali ayah nampak dia keluar dengan perempuan Ika. Dia tak jujur, ayah
tak nak Ika makan hati dan menderita di masa akan datang. Ayah tak boleh terima
lelaki macam tu sebagai bakal menantu. Keluarga dia pun ayah tak boleh terima.
Ayah tak mampu nak terima!”
“Keluarga
dia? Ayah kenal ke dengan keluarga Abang Faez?”
“Lebih
daripada kenal! Dan sebab ayah kenallah ayah tak nak Ika teruskan hubungan
dengan dia!”
“Tapi
kenapa ayah?” Aku tanya tapi ayah hanya menggelengkan kepala. Buat aku tambah
keliru.
“Ayah
buat Ika bingung!” Aku pun dah naik pening kepala dengan sikap ayah ni. Apa
yang tak kena dengan keluarga Abang Faez?
“Tak
perlu nak dipertikaikan lagi. Ikut je cakap ayah kalau Ika nak bahagia dunia
akhirat. Lupakan Faez… dia tak layak untuk Ika!”
Selepas
habis cakap ayah berlalu menuju ke biliknya. Aku rasa macam nak menjerit
sahaja. Rasa tak puas hati sebab ayah blah macam itu sahaja. Aku
perlukan penjelasan dan bukan dibiarkan berteka-teki begini. Ayah tak boleh
harap aku akan ikut cakap dia bulat-bulat! Ah, buntunya!
Sudahnya
hari Sabtu dan Ahad itu aku berkurung je dalam bilik. Abang Faez
langsung tak menghubungiku. Aku cuba menghubunginya tapi handphone dia
masih dimatikan. Dia marah sangat agaknya. Tapi aku ada hantar mesej, minta
maaf bagi pihak ayah. Aku harap kemarahan dia reda dan kami boleh berbincang
secara baik.
Aku kenal sikap dan perangai ayah. Dia bukan jenis yang
mudah naik angin. Ayah seorang yang rasional dan realistik. Pendengar yang
baik. Membuat keputusan dengan penuh timbang tara.
Jadi apabila ayah bersikap
dingin dengan Abang Faez aku benar-benar buntu. Apa salah Abang Faez? Kenapa
ayah tak suka dia? Kenapa ya? Soalan yang tidak ada jawapan itu berlegar-legar
dalam mindaku.
No comments:
Post a Comment