Friday 11 March 2016

Cinta Infiniti - Bab 7



Bab 7




“Miss Jenny, saya dah check tiga kali borang claim ni dengan semua resit yang disertakan. Tak tallylah… rasanya ada resit yang tercicir.” Aku dah naik pening kepala kena check semula segala mak nenek resit yang disertakan kat borang claim ni. Tak boleh ke dia claim sikit-sikit? Ni sekali claim punyalah banyak resit yang disertakan.


Nak kata aku tercicir atau terjatuhkan sekeping dua resit ni tak mungkinlah sebab dia dah stapler elok-elok dengan dawai kokot yang saiz besar tu.


“Siapa punya claim?” Jenny tanya dari meja dia, tak angkat muka pun pandang aku. Busy sangat amoi tu gamaknya.


Errr… Encik Umar Azharie.” Aku terpaksa bangun dan bisik kat telinga Jenny. Karang dengar dek Nina tu mulalah dia menggedik nak tahu apa ceritanya. Sejak akhir-akhir ni tersumbat telinga aku dengan segala macam cerita tentang Umar Azharie ataupun nama manjanya yang Nina panggil, Abang Ayie. Hiii


Are you sure Umar Azharie punya claim? Bukan orang lain? Setahu I dia punya claim tak pernah silap tulis.” Barulah Jenny nak angkat muka dan pandang kat aku yang berdiri kat sebelah dia ni.


“Betul, dah tiga kali I check… resit dengan borang claim tak tally. Variance about RM200.” Aku buat muka risau. Kalau dah tak tally jangan kata RM200, dua puluh sen pun aku tak boleh proceed claim dia ni. Berpinar mata aku check borang claim dan resit-resit semua department hari ni. Dahlah aku kena siapkan report hari ni jugak. Nak kena bagi Jenny check dan pihak atasan luluskan. Lepas tu barulah buat payment.  

Haila… kalau banyak yang tak tally jenuhlah aku. Kat meja tu adalah dalam sepuluh borang claim lagi aku nak kena setelkan. Kejap lagi waktu kerja dah nak habis, takkan nak bawa balik buat kat rumah pulak


“Betul tak tally? Are you 100 percent sure?” Alamak Jenny ni, tak percaya cakap aku pulak. Aku ni boleh tahan cekap jugak bab-bab mengira ni. Aku memang minat bergelumang dengan figures sebab tu aku ambil accountancy.


“Betul… you checklah…” Aku unjuk borang claim dengan resit tebal kat tangan aku ni. Jenny pandang je, tak sambut pun.


“You pergi tanya dialah…”


Ha?” Aku salah dengar ke arahan Jenny ni?


“Pergi jumpa dan tanya dia sendiri.” Jenny ulang arahan dengan lebih jelas. Hish… takkanlah aku pulak nak kena pergi tanya Abang Ayie Si Nina tu. Aku suruh Ninalah.


Wait!” Jenny suruh aku tunggu sambil tangan dia mendail telefon atas meja dia. Aku dengar dia bercakap dengan seseorang. Sekejap je dia dah letak gagang telefon.


“Pergi naik atas jumpa dia. I dah beritahu dia…” Aku rasa macam tak percaya je, kenapa aku pulak yang kena naik jumpa Umar Azharie ni?


“I suruh Nina naik boleh tak?” Aku yakin Nina mesti melompat kesukaan kalau aku suruh dia naik ke pejabat arkitek tu.


“You yang proses claim ni kenapa nak suruh Nina pulak. Dah… dah… pergi naik sekarang, dia dah tunggu tu. Lambat-lambat nanti dia tak ada pulak.” Sakit hati pulak aku dengan Jenny ni. Tak boleh ke panggil je Umar Azharie tu turun bawah? Betulkan claim dia kat sini? Hrm… mentang-mentanglah aku ni intern je maka kenalah aku menghadap dia orang tu semua ya? Grrr… geram la pulak. Aku buang borang claim dengan resit ni dalam tong sampah karang baru padan muka dia!


“Pergi sekarang…” Jenny arahkan aku lagi sekali. Macam tau-tau je aku nak duduk balik kat tempat aku. Ciss…






Keluar je dari lif kat tingkat tujuh tu aku melingaskan pandangan. Dahlah tempat Umar Azharie tu kat hujung sana, banyak meja aku nak kena lalu ni. Segannya aku.


Aku berjalan perlahan-lahan sambil menundukkan pandangan. Macam alien yang tersesat kat bumi pulak rasanya. Lagi beberapa kaki nak sampai kat meja Umar Azharie aku tegakkan kepala dan aku nampak dia tengah tersenyum pandang aku. 


Have a seat Hani.” Dia suruh aku duduk sebaik sampai kat depan meja dia yang tengah berterabur tu. Ya-Allah, meja ke tongkang terlanggar batu karang ni? Sesuai jadi port kucing nak beranak ni. 


“Duduklah.” Sibuk dia pegang dan susun kertas-kertas yang berterabur atas meja dia tu. Macam-macam ada.


Aku duduk kat kerusi depan meja dia tu. Tanpa sepatah kata aku hulurkan borang claim dan resit-resit kat tangan aku ni. Dia sambut dengan senyuman.


“Tak tally.” Terpaksalah aku bersuara jugak.


Iya ke? Rasa dah betul dah masa kira hari tu.” Dia ambil stapler dan korek dawai kokot yang distaple kemas kat resit-resit tu.


“Tolong abang kira ek?” Dia cakap macam tu sambil pandang aku, dengan senyum senget dia tu.


Err… encik kiralah dulu. Dah betul nanti saya datang ambil.” Sebenarnya nak aje aku suruh dia hantar balik borang claim tu apabila dia dah siap kira dan betulkan tapi rasa macam tak kena pulak. Dah sah-sah dia ni pekerja tetap yang berkedudukan kat sini sedangkan aku ni hanyalah pelajar praktikal sahaja. 


“Kita kira sama-sama ya?” Ek, eh… dia buat permintaan pulak. Lepas tu dia bangun dan bergerak ke mesin fotostat. Dia copy borang claim tu dan kemudian letakkan yang original ke tepi meja.


“Abang sebut resit dan jumlahnya, Hani tolong marks kat borang tu ya?”Dia hulurkan aku copy borang tu dengan sebatang pen. Aku dah seram sejuk je ni sebab dia dok bahasakan diri dia sebagai abang. Aku rasa macam tak sesuai je dia bahasakan diri macam tu. Bahasakan diri sebagai ‘saya’ kan bagus.


Lepas tu satu-satu dia sebut item dan jumlah resit dan aku tanda kat copy borang tu dengan pen merah. Rasa macam cikgu sedang memeriksa buku rampaian anak murid pun ada gak ni.


“Hai… buat apa ni?” Satu suara kedengaran dekat dengan telinga aku. Kuss semangat… kembar dia rupanya. 


Check claim aku… cik adik manis ni kata tak tally.” Umar Azharie jawab pertanyaan kembar yang dah berdiri kat sebelah dia.


“Sejak bila pulak kau pandai check-check claim ni? Bukan selalu Nita ke yang buatkan?”


Ala, Nita kan busy… aku buatlah sendiri.” Oooo… patutlah salah kut, selama hari ni staf dia yang isikan borang claim ni. Tapi takkan bos dia main sain je kan? 


Kalau ikutkan sekejap je boleh siap tapi dah dia berduet dengan Akmal Rizal tu tanya aku macam-macam soalan maka dekat 30 minit jugalah baru selesai. Itupun banyak soalan dia orang yang aku abaikan dan jawab dengan senyuman je. Bukannya ada kena mengena dengan kerja pun soalan dia orang tu. Yang depa dok ulang-ulang nak tahu aku ni dah ada special boyfriend ke belum. Agaknya memang kembar ni kasanova kut. Aku rasa mesti semua budak praktikal dia tanya dan layan macam aku ni kut. Hailah nasib.


“Terima kasih Hani.” Umar Azharie ucapkan terima kasih masa aku dah berdiri nak balik ke tingkat lima. Akmal Rizal pun dah kembali ke mejanya semula.


“Sama-sama.” Aku terus berpaling pergi, tak larat dah nak pandang senyum senget dia tu. Dahlah meja macam apa je semaknya, nasib baik juga tuan meja tu tak serabut dan serabai macam meja dia. Tengah banyak kerja kut. Ni mesti dia ikut kajian daripada Dr. Kathleen Vohn dari University of Minnesota, Amerika Syarikat tu yang kononnya meja kerja berselerak mampu menjana minda pekerja agar lebih kreatif dalam melaksanakan tugasan. Hrmmm


Sampai kat bawah Jenny tanya aku progres borang claim tu. Pandai pulak dia komplen kata aku naik atas lama sangat. Aku diam je, dia yang suruh aku naik kan, bukan aku nak. Dahlah orang kat atas tu sengaja buat lambat-lambat. Tengok resit tu satu-satu macam mengeja pulak aku rasa. Tapi yang bestnya tiba-tiba tally pulak jumlah resit dengan borang claim tu. Tak ke ajaib tu? Padahalnya banyak kali aku check kat bawah ni, memang tak tally. Huh!


Resit-resit yang tadinya aku masukkan dalam folder aku susun satu-persatu mengikut turutan di borang claim. Haa… kenapa dua resit ni tak ada kesan stapler pun? Mesti Umar Azharie ni baru letak. Sebab resit-resit yang lain semua ada kesan tebukan dawai kokot. Tapi aku malas nak cakap banyak, nanti tak siap kerja aku lambat pulak aku balik.


Akhirnya dekat jam 6:30 petang baru aku dapat meloloskan diri untuk pulang. Setelah aku compile  semua report tu dah serahkan ke tangan Jenny yang belum ada tanda-tanda nak balik. Nina dah balik setengah jam yang lalu. Dia tak boleh balik lambat sebab ayah dia yang jemput.


“Hani, jom abang belanja minum.” Ada suara tegur sebaik aku melangkahkan kaki ke dalam lif. Umar Azharie tengah tersengih pandang aku. Dia seorang aje dalam lif. Aku rasa nak je patah balik kalau kaki aku belum masuk dalam lif. Tapi apakan daya.


“Tak apalah, saya kena balik cepat.” Aku buat alasan dan terus tekan buton lif untuk ke basement.


“Pagi esok kita sarapan sama-sama ya?”


“Saya selalunya dah sarapan siap-siap kat rumah.” Aku buat alasan lagi. Lepas tu dia diam. Aku pun diam. Kami sama-sama turun ke basement


Bye Hani, see you tomorrow!” Dia lambai kat aku yang tengah berdiri kat sebelah Axia comel aku ni.


Bye!” Aku balas juga lambaian dia yang sedang buka pintu Honda HRV putih dia tu.






Pagi ni aku sampai agak awal, sebab jalan lengang pulak. Susah nak jangka keadaan trafik di jalan raya ni. Ramai orang dah mula bercuti sebab hari ni hari Jumaat ke ataupun sebab tidak ada kereta rosak ataupun kemalangan sepanjang laluan aku dari rumah tadi. Apa-apa pun aku bersyukur kerana perjalanan aku selamat sehinggalah ke petak parkir di basement ini. Alhamdulillah.


Aku keluar dari kereta sambil sandang beg tangan di bahu. Sebaik mengunci kereta aku betul-betulkan baju kurung satin batik yang berkedut di sana-sini. Baju ni memang cepat nampak renyuk padahal masa aku gosok pagi tadi bukan main licin lagi. Aku mula mengatur langkah hendak menuju ke pintu lif apabila ada suara garau menegur.


“Assalamualaikum Hani!” Kuatnya suara dia, rasa bergema pulak basement ni. Aku pusing dan pandang arah datangnya suara tu. Umar Azharie sedang tersenyum sambil berjalan agak laju menghampiri aku.


Di bahunya tersandang beg berisi laptop. Kat tangan dia ada satu lagi beg kotak yang agak besar. Dia bawak pakaian ke? Gaya macam lari dari rumah pun ada.


“Wa’alaikumsalam,” Aku jawab salam dia dan kami berdiri berpandang-pandangan antara satu sama lain.


“Teman abang sarapan?” Dia cakap sambil kerling jam tangan dia. Aku tahu jam belum pun menunjukkan angka lapan pagi. Lagi sejam barulah waktu kerja akan bermula. Kalau dia ajak aku bersarapan bolehlah aku tolak dan kata dah makan kat rumah tadi. Tapi dia ajak aku teman dia sarapan. Ishk… macam mana ni?


No comments:

Post a Comment