Friday 11 March 2016

Cinta Infiniti - Bab 9



Bab 9



Hari ni tugas kami adalah mengemaskini segala fail-fail berkaitan bahagian akaun. Tak lama lagi auditor dari luar akan melakukan audit ke atas segala akaun syarikat. 

Aku dan Nina sedang training di bahagian pengurusan akaun – unit gaji dan claim. Sebelah sana sikit adalah unit perolehan dan unit kewangan. Semua jabatan dan bahagian di tingkat lima ni berada dibawah seliaan Mr. Danny. Dialah bos paling besar kat jabatan ni. Sebab tu kut dia kerek tahap gaban dengan pekerjanya.


Kenapa aku cakap dia kerek? Sebab aku pernah nampak dia campak dokumen atas meja Nurin. Dengan muka garang dan serius dia suruh Nurin betulkan balik report tu. Habis berterabur kertas A4 bercetak tu atas meja dan lantai. Sebab dia campak dari depan muka pintu bilik dia.


Tak lama lepas tu aku nampak dia hempas tiga buah fail atas meja Mr. Justin pulak. Siap sound Mr. Justin lagi. Eksekutif apa yang tak reti buat kerja. Nama je eksekutif  tapi kualiti kerja kelaut. Hish… ingat Mr. Justin tu nelayan ke yang sampai nak kelaut?


Hari tu dia nak fotostat sesuatu. Kebetulan Nurin tak ada di mejanya. Mr. Danny pergilah fotostat sendiri tapi malangnya mesin fotostat tu buat hal. Kertas sangkut kat dalam. Aku nampak dia sepak mesin fotostat tu. Cepat je Lola datang dan tolong dia buka isi perut mesin tu sebelum jahanam kena sepak. Patutnya kaki dia patah je masa tengah menyepak tu. Barulah dia tak payah datang pejabat. Aman!


Tapi yang aku kagum adalah sikap pekerja dia apabila kena marah. Dorang boleh buat muka seposen je. Kat depan Mr. Dannylah. Kalau kat belakang memang bergantang-gantang kenyangnya Mr. Danny makan sumpah seranah. Aku rasa aci tak payah makan nasi dah dia tu kalau tiap hari kerjanya asyik nak cari salah orang je.


Aku dengan Nina kena bantu semua bahagian akaun selaraskan segala data dan dokumen yang berkaitan sebelum kedatangan auditor. Mr. Justin dah warning awal-awal, tak boleh balik cepat dan mungkin juga kena datang kerja di hujung minggu katanya. 


‘Datang sini kejap.’ – Nina WhatsApp aku. Tak habis membuang air mata lagi ke kawan aku ni. Aku menuju ke tandas seperti yang Nina minta. Tak ada orang kat dalam tandas, cuma Nina yang sedang bertapa kat tandas paling hujung tu.


“Nina… aku ni. Keluarlah, tak ada orang ni.” Aku ketuk pintu tandas.


“Aku maluuuuu…” Nina cakap kat aku macam tu. Dia keluar dari tandas dan berjalan ke singki, basuh muka.


“Nak malu apa? Bukan sengaja pun, kan?” Aku cuba pujuk dia, tapi kalau aku yang tergolek macam dia tadi taubat aku pun malu. Silap-silap aku tak datang sini dah. 


“Kau cakap senanglah, bukan kau yang tergolek tadi tapi aku…” Nina cakap sambil tunjuk diri sendiri.


“Dah dahlah tu… perkara kecik je pun.” Berapa lama dia nak layan perasaan? Kerja tengah melambak tu… adoi la... Nina!


“Dengan orang lain aku tak kisah tapi ada Abang Ayie kan tadi? Jatuh merudum ke longkang terus saham aku.” Nina sambung meroyan. Macam mana agaknya reaksi dia kalau tahu aku bersarapan berdua dengan Umar Azharie tadi dan dia baru lepas approach aku pulak tu. Hee… ntah-ntah mahu dia pengsan kat sini jugak. Alahai Nina.


“Jomlah… kerja tengah banyak tu. Anggap ajelah kejadian tadi tak pernah berlaku.” Aku cuba pujuk lagi. Kalau dia nak meragam jugak lantaklah. Pujuk memujuk orang ni bukan kepakaran aku dan antara benda yang paling aku tak minat nak buat. Kalau Nina tak nak keluar jugak biarlah dia bertapa je kat dalam tandas ni sampai waktu balik. Aku memang dah tak kuasa nak layan!


Mujur lepas tu elok je dia mengekor aku masuk ke ofis. Awal-awal dia dah cakap hari ni dia tak nak keluar makan tengah hari walaupun waktu rehat hari Jumaat ni panjang. Aku angguk ajelah, lagipun aku dah alas perut dengan nasi lemak tadi. Kalau lapar sangat bancuh milo jelah.


Waktu rehat, aku dengan Nina masih setia kat dalam bilik mesyuarat kecil ni. Kat dalam ni berlambak segala macam fail dan dokumen yang memerlukan penelitian. Nak kena buat filing, susun balik semua hardcopy data mengikut turutan dan fail yang berkenaan. Banyaknya filing yang pending. Tak cukup kakitangan aku rasa jabatan akaun ni.


You’re not going out for lunch?” Mr. Danny terjengul kat pintu bilik mesyuarat yang disendal dengan penahan pintu. Senang kami nak keluar masuk angkut fail-fail tanpa perlu buka dan tutup pintu.


“Diet.” Cepat je Nina menjawab.


“Diet bukan tak makan tapi makan dengan betul.” Mr. Danny cakap sambil sengih. Aku perasan, semenjak kami berbual masa sambutan hari jadi dia tu Mr. Danny ni jadi semakin peramah.  Selalu dia menyapa aku kalau bertembung di mana-mana. Sampai aku perasan staf dia yang lain buat muka pelik dengan keramahannya dengan aku dan Nina. 


“I nak keluar pergi masjid, kalau tak, boleh kita lunch sama-sama.” Lepas cakap macam tu Mr. Danny melambai dan pergi.


“Hani, Mr. Danny tu handsome juga kan? Kaya pun kaya… apa lagi?” Nina pandang aku sambil angkat-angkat kening.


“Apa yang apa lagi?” Aku malas nak buat-buat faham apa yang Nina maksudkan. Tak nak keluar makan sangat, ha… buatlah kerja.


“Aku rasa dia suka kau… aku pernah dengar dia cakap kat staf dia yang dia suka tengok kau katanya.” Nina angkat-angkat kening lagi. Aku terus pandang tempat lain. Aku geram karang ada gak yang kena baling dengan fail 6 cm ni. Ingat aku nak percaya ke apa yang dia cakap tu? Macam tak masuk akal je. Mr. Danny tu setahu aku bercakap benda yang perlu je. Sejak bila pulak dia pandai bergosip?


“Kau ni asyik bercakap je bila nak siap kerja kita ni. Esok kena datang kerja… jangan Ahad pun kena datang jugak…” Sebenarnya aku tak ada masalah pun untuk datang kerja di hujung minggu. Aku selalu kebosanan jugak kalau duduk di rumah. Maka kebanyakan masa aku merayap ke Pavilion, The Gardens dan Alamanda… jenguk-jenguk butik mama. Dan sekarang ni mama sedang set-up cawangan butik di ioi City Mall pulak. Alhamdulillah… murah rezeki mama.


Yelah… yelah, aku buat kerjalah ni.” Akhirnya Nina diam. Hrmm… aman sikit aku rasa. Pandai-pandai je dia buat cerita fasal Mr. Danny, suka kat aku konon! Kalau ya pun dia suka kat aku, bajet aku nak percaya dia cakap kat staf dia? Apa Nina ingat Mr. Danny tu kamceng sangat ke dengan staf-staf dia? Dia orang tu berinteraksi fasal kerja ke. Itu apa yang aku nampaklah!


Luar waktu kerja aku rasa semua pekerja nak melencong lalu kat lain je kalau dia ada. Huh! Kronik tahap tak nak bertembung dengan dia tu.






Jam 2:30 petang elok-elok aku siap solat zohor dan nak masuk balik dalam bilik mesyuarat tu Jenny suruh aku naik tingkat tujuh.


“Buat apa?” aku tanya dia dengan nada perlahan.


“Tolong hantar ni pada Encik Umar Azharie.” Jenny hulur aku satu sampul saiz A4 warna putih. Kesian aku kan? Kena jadi peon, tapi nak buat macam mana sebab senior yang suruh. Karang dia tak nak sain report praktikal aku tak fasal-fasal je.


Masa aku nak menuju ke pintu lif aku bertembung dengan Mr. Danny. Lambat dia masuk ofis. Kat tangan dia ada beg plastik.


“Farhani, where are you going?” Mr. Danny ni memanglah, kejap cakap Melayu kejap cakap omputih dengan aku. Jangan keluar loghat Sabah dia sudahlah… Boleh bah kalau kau?


“Tingkat tujuh bos.” Aku berhenti berjalan dan berdiri depan Mr. Danny yang juga menghentikan langkahnya sebaik nampak aku tadi.


Terpandang wajah dia yang tersenyum tu buatkan aku teringat apa yang Nina cakap fasal dia tadi. Kononnya Mr. Danny ni puji dan  minat kat aku. Tiba-tiba je aku rasa segan sendiri.


“I ada belikan you dengan Nina nasi beriani. I letak di pantri ya… nanti makan. Jangan asyik fikir kerja aje, badan pun nak kena jaga.” Dia beritahu sambil angkat dan tunjuk beg plastik kat tangan dia. 


Baiknya dia, prihatin gila sampai teringat nak belikan aku dengan Nina makanan. Terharunya aku, rasa kagum berganda-ganda kat dia.


“Terima kasih bos… err… saya naik dulu.” Aku tunjuk sampul surat kat tangan dan berlalu pergi apabila dia anggukkan kepala.

 

“Jom, ikut abang.” Itu yang Umar Azharie cakap sebaik dia ambil sampul surat kat tangan aku dan campakkan atas meja dia yang macam tongkang pecah lapan tu.


Aku tak sempat nak tanya pun dia nak ajak aku ke mana. Laju dan panjang je langkah dia. Aku mengekor sampai kat hujung bangunan. Dia masuk pantri dan aku berdiri je kat pintu masuk pantri yang sedia terbuka.


“Masuklah!” Dia cakap sambil pandang aku.


Err… nak buat apa kat sini?” Aku langkahkan juga kaki ke dalam dan aku dapat lihat pantri dia orang yang cantik dan selesa. Siap ada meja makan dengan empat kerusi. Tersusun kat kabinet bermacam jenis serbuk minuman, ada milo, nescafe, teh dan sebagainya. Macam kat rumah dah aku rasa.


“Duduklah.” Dia berdiri sambil berpeluk tubuh dan bersandar dekat singki. Aku tarik kerusi dan duduk. Dia nak suruh aku buat air untuk dia ke? Tapi aku bukan attached kat department dia pun.


Dia buka container berisi nasi beriani dan letakkan kat depan aku. Aku tengok beg plastik kat tangan dia dan aku rasa dia beli nasi beriani tu kat kedai yang sama dengan Mr. Danny beli tadi.


“Tadi tak keluar lunch, kan? Pagi tadi pun makan tak habis. Sekarang makan nasi beriani ni. Abang tunggu…” Ya-Allah, gila apa aku nak kena makan kat depan dia. Kat pantri department dia pulak tu. Kalau ada yang nampak macam mana? Lagipun Mr. Danny dah belikan aku dengan Nina nasi beriani jugak tadi. Lebih afdal aku makan nasi beriani yang Mr. Danny belanja sebab dia bos kat tempat aku praktikal dan lagi dia belanja Nina sama. Kalau aku tak makan nanti akan menimbulkan tanda tanya kepada Nina dan Mr. Danny juga. Arghhh


“Terima kasih Encik Umar, saya kena makan dengan Nina. Sebab Mr. Danny pun belikan nasi beriani tadi.” Aku terpaksa beritahu perkara sebenar.


“Mr. Danny? Oh… patutlah terjumpa dia kat restoran tu tadi. Jadi Hani tak sudi nak makan nasi yang abang belanja? Nak makan yang Mr. Danny belikan?” Kenapa aku rasa lain macam je nada suara yang dia keluarkan tu. Takkan marah kut.


“Bukan Hani tak sudi, nanti apa kata Nina kalau Hani tak makan sama dengan dia. Tak keluar lunch tadi sebab Nina tak nak, dia malu dengan kejadian pagi tadi.” Umar Azharie tergelak lepas aku beritahu sebab dan alasan Nina tak nak keluar makan. Mesti dia teringat macam mana gaya Nina tergolek pagi tadi. Jahat dia ni tau! Gelakkan Nina.


“Hani makanlah… kecik hati abang kalau Hani tak sudi.” Oloo… badan besar tapi hati kecik pulak dah. Tapi lagi lama aku menolak dan dia memujuk akhirnya bertambah lama aku tersangkut kat sini.


“Kita makan sama-samalah.” Aku buat cadangan. Rasanya aku kena juga jamah nasi beriani ni kalau aku nak turun cepat dan tak nak kecilkan hati lelaki yang kuat sentap depan aku ni.


Dia ambil dua biji pinggan kosong dan letak atas meja. Sementara dia buka bungkusan lauk dan acar aku isikan nasi dalam pinggan. Aku ambil tiga sudu nasi aje selebihnya aku tuang dalam pinggan dia.  Bulat mata dia pandang nasi dalam pinggan dia.


“Encik kena makan banyak sikit. Kata banyak kerja, kena balik lambat. Perlu tenaga yang banyak…” aku main belasah je cakap macam tu. Tapi aku ada dengar Jenny cakap yang staf-staf kat tingkat 7 ni memang tengah busy, banyak job masuk. Yang berkampung kat sini je pun ada, tak balik-balik rumah. 


“Boleh, tapi Hani kena teman abang makan sampai habis. Dan jangan panggil saya encik… panggil abang!” Sibuknya nak besar-besarkan fasal panggilan tu!


No comments:

Post a Comment