Friday 11 March 2016

Cinta Infiniti - Bab 6



Bab 6






Siap je menghias bilik tu aku dan Suhaina sambung kerja kat atas. Tak sabar nak tunggu majlis sambutan hari jadi tu. Tak sangka Mr. Danny tu dah berumur 34 tahun, muka dia nampak muda je. Lola kata Mr. Danny tu buah hati dia. Entah ya entahkan tidak, tapi yang pastinya Lola memang hari-hari je buatkan air untuk bos dia orang tu. Sesuatu yang agak pelik sebab yang jadi pembantu Mr. Danny adalah Nurin. 


Mungkin juga air minuman yang dibuat oleh Lola sangat sedap rasanya. Nurin pulak mungkin seorang PA yang tak pandai bancuh air. Herm… agaknyalah. Itulah rumusan ringkas yang terfikir di minda aku ketika ini.


“Selamat hari jadi… selamat hari jadi… selamat hari jadi… selamat hari jadiiii…” Kita orang nyanyi ramai-ramai sambil bertepuk tangan. Berseri-seri muka orang yang diraikan. Ini baru kali pertama aku bertentang mata dengan Cik Laili yang merupakan AR dan bos di Jabatan Arkitek tu. Aku macam tak percaya je apabila Lola beritahu umur Cik Laili tu dah 48 tahun. Pandainya dia jaga penampilan, rupa nampak muda daripada usia. 


Hampir 40 orang jugalah yang berada dalam bilik ini. Kecoh dan bingit juga apabila masing-masing mula mengambil hidangan dan makan sambil berbual-bual sesama sendiri. Dua biji kek hari jadi yang besar dan nampak sedap tu dah selamat dipotong dan diletakkan atas piring-piring kecil. 


Ada makaroni goreng, nasi beriani beserta lauk pauknya. Buah tembikai yang siap dipotong, anggur merah, karipap, seri muka, popia goreng dan cucur badak turut dihidangkan bersama air teh panas dan air tembikai susu sejuk. Semuanya membuka selera!


Lepas ambil makaroni goreng dan nasi beriani serba sedikit dengan lauknya aku cari tempat kosong. Lepas pandang kiri kanan akhirnya aku nampak ada tempat kosong kat sebelah Abdul Halim yang tolong hias bilik ni tadi. Dia pun melambai kat aku ketika kami bertembung pandang. Kira macam dah rapat pulak kami ni, maklumlah lama juga dengan dia menyiapkan bilik ni tadi.


“Nina mana?” Abdul Halim tanya kat aku yang baru je ambil tempat kat sebelah dia. Lecehlah makan sambil tatang pinggan macam ni. Kalau ada meja kan senang nak makan, proper sikit. Mujur juga aku belum ambil air minuman. 


“Dia ada kat sana.” Aku tunjuk dengan ekor mata tempat Nina sedang duduk sambil bergelak ketawa. Dengan siapa lagi kalau bukan dengan arkitek kembar tu, Akmal Rizal dan Umar Azharie. Sebab dia tahu ramai lelaki-lelaki bujang kat sini maka awal-awal tadi dia dah angkut beg mekap dia ke tandas dan mula menconteng wajahnya tu. 

Dengan muka aku sekali dia nak conteng, mujur tak cukup masa. Last-last dia pakaikan aku lipstik je, tebal pulak tu. Tapi aku dah sapu dengan tisu lipstik kat bibir aku ni, senang sikit aku nak makan. 


“Hani, tu Mr. Danny panggil.” Abdul Halim cakap macam tu kat aku yang baru je pegang garfu, nak suap makaroni dalam mulut. Ngam-ngam je aku habis baca doa makan.


Aku pandang arah meja di mana Mr. Danny dan Cik Laili tu berada, bos Bahagian Kewangan tu gamit aku dengan bersungguh-sungguh.


Come and join us…” Mr. Danny arahkan aku duduk kat kerusi kosong sebelah dia. Bila masa pulak ada kerusi lebih kat sebelah dia ni. Rasanya tadi kami cuma letakkan dua buah kerusi je kat meja ni.


It’s okay bos… saya dah ada tempat duduk.” Aku tolak pelawaan dia dengan baik. 


“I nak berbual dengan you… duduklah.” Serba tak kena aku jadinya. Apa pulak halnya dia nak berbual dengan aku kat sini? Kat pejabat tak pernah pun nak beramah mesra dengan aku. Muka ketat memanjang. Pandang pun jarang nak senyum, musykil nih


Dia ada niat nak sound ataupun marah aku ke? Tak baik kut marah-marah orang di hari jadi. Penat kut aku tolong menghias bilik ni tadi.


Sebaik aku duduk kat sebelah dia aku rasa hampir semua mata orang-orang yang ada dalam bilik ni memandang ke arah kami. Nak-nak lagi apabila selepas tu Cik Laili minta diri sebab ada urusan lain. Nampak macam aku dengan Mr. Danny tengah  makan beradap kat majlis kahwin kami je ni. 


   
Tapi aku tak naklah pengantin lelaki tua macam dia ni. Aku nak yang tua dua ke tiga tahun je daripada aku. Kalau beza umur sampai berbelas tahun… ishk! Tak dapat aku nak membayangkannya.


‘Bertenang Hani… bertenang, apa kau fikir ni?’ Tetiba je ada suara mengingatkan agar aku kembali ke alam nyata. Astaghafirullah al-Azim, inikan majlis hari jadi dan bukannya majlis kahwin aku pun. Aku hembus nafas perlahan, tanda kelegaan. Bengong je.


“Mr. Danny nak tambah makanan? Saya boleh ambilkan.” Aku memang segan tahap gaban dah ni.


“I dah kenyang, ini untuk you.” Dia letakkan sepiring kek hari jadi depan aku. Kek Chocolate Indulgence dari Secret Recipe tu. Sedap oi.


Err… terima kasih.” Aku cakap sambil anggukkan kepala. Rasanya ini kek untuk dia, kenapa dia bagi aku pulak? Ah, mungkin dia jenis yang tak suka makan kek? Tak suka makanan manis. Hrm… sebab tu dia kurang senyum agaknya.


“Macam mana kerja kat sini?” Oleh sebab dia bercakap dengan aku maka terpaksalah aku angkat muka dan pandang dia yang kebetulan memang tengah panahkan mata dia kepada aku.


“Oooo… bagus dan seronok.” Aku tak tahu nak jawab macam mana. Aku nampak Mr. Danny senyum dengar jawapan aku. Memang kebanyakan orang Sabah yang aku kenal berkulit putih dan rupa ada iras-iras Cina sikit. Samalah macam Mr. Danny ni tapi mata dia taklah sepet. 


Apabila aku buat analisis wajah dia, aku rasa dia ni macam Ashraf Sinclair masa muda-muda dulu.  Boleh tahan handsome juga rupa dia dari dekat. Mulanya dulu aku ingat dia ni Cina masuk Islam, rupanya dia memang orang Islam sejak azali. 


“Bila habis belajar?” 


“Kurang dari setahun, sebab lepas habis praktikal kena masuk belajar satu sem lagi.” Aku terangkan kat dia. Gara-gara duduk semeja dengan Mr. Danny aku terlepas peluang nak makan banyak. Dia sibuk nak bercakap dengan aku takkan aku nak minta diri dan tambah makanan pulakkan? Alahai ruginya…


Aku nampak  Suhaina dan arkitek kembar tu dok pandang-pandang kat sini. Orang lain pun sesekali pandang juga tapi taklah setajam mata tiga orang yang aku kenal tu.


“Habis belajar applylah kerja kat sini. Nanti I rekemen.” Haa??? Aku macam nak ternganga dengar Mr. Danny cakap macam tu kat aku. Rasa tak percaya dan macam dalam mimpi pun ada. Gila kentang, bos paling besar kat Bahagian Kewangan cakap macam ni kat aku? Kira confirm dapat ke ni?


“Saya dengan Suhaina?” Aku tanya dan dia senyum dengar soalan aku.


Applylah… kalau ada kekosongan, boleh masuk. I akan rekemen you… insya-Allah.” Macam pelat je sebutan insya-Allah dia tu. Tapi yang aku dapat tangkap melalui percakapan dia tadi, dia emphasize fasal nak rekemen aku je kan? Musykil jugak ni, kenapa dia cakap macam tu. Lagipun aku baru je sebulan kat sini. Belum nampak lagi macam mana performance dan perangai sebenar aku kan? Ishk… musykil… musykil.


Sudahnya dari mula sampailah majlis tu berakhir dalam jam 6:50 petang aku terpaksa melayan Mr. Danny berbual. Kebanyakannya fasal kerja dan syarikatlah. Dia ni memanglah, sesekali je dia jawab teguran dan ucapan tahniah orang lain yang menghampiri dia. Stok-stok tak mesra alam dengan staf dia ni kut.


Entah apa mimpi dia malam tadi hinggakan dia mendapat hidayah untuk beramah mesra dengan aku hari ini. Sungguhlah tak masuk akal dan di luar kotak pemikiran aku perlakuan dia ni. Si ais batu yang beku ni tiba-tiba je nak mencair  hari ni, pelik… pelik. Boleh menimbulkan keraguan munasabah ni.


Last aku bercakap dengan dia masa hari mula-mula melapor diri. Dia usik aku fasal hal boyfriend dan kahwin. Lepas tu aku jarang nampak dia walaupun aku tahu dia selalu ada je dalam pejabat dia tu. Tapi aku selalu dengar staf-staf lain mengumpat dia ni. Depa kata dia strict tak tentu fasal. Hrmmm… entahlah.



 Lepas siap mengemas dewan dengan dibantu oleh dua orang kakak cleaner tu aku naik balik ke ofis. Lepas ke tandas dan ambil beg tangan aku bersedia nak balik. Nina dah tunggu kat depan lif.


“Mr. Danny borak apa dengan engkau? Nampak macam serius je?” Tak sabar dia nak bertanya. Patutnya tunggulah apabila kami berdua. Ni ramai pekerja Bahagian Kewangan yang lain ada sama dalam lif ni.


“Tanya aku fasal kerja je… okey ke tidak praktikal kat sini.” Aku jawab juga soalan Nina ni. Tak jawab karang kecil hati pulak.


“Ohh…  ingatkan dia cakap soal hati dan perasaan!” 


“Merepek je kau ni!” 


Sampai kat lobi bawah tu aku nampak Umar Azharie sedang santai duduk kat sofa. Tengah tunggu seseorang kut. Aku perasan dia pandang je aku dan Suhaina yang sedang bergandingan melangkah keluar dari pintu utama ofis. Dia tak senyum pun. Tengah bad mood kut. Dah makan kenyang-kenyang pun kedekut senyuman, apparaa!


“Kita orang balik dulu Abang Ayie!” Aku berpaling ke kiri, pandang kepada Nina yang sedang melambai Umar Azharie. Mamat tu melambai balik kat Nina dengan senyuman separa manis.


“Kirim salam kat orang sebelah tu… balik terus ya. Jangan pergi mengurat pulak.” Itu pulak yang keluar daripada mulut dia. Dia ni nak perli ke apa? Siap kirim-kirim salam pulak. Apa kelas takat kirim salam je, kalau terer kirimlah duit sekali. 


“Aku balik dulu Nina, jumpa esok.” Kami kat luar bangunan pejabat dah masa tu. Nina ni selalunya ayah dia jemput. Kat sini parking payah sikit, kena datang awal. Tapi tadi baru je aku dapat tahu melalui Mr. Danny yang staf-staf di sini boleh parking kat bawah bangunan ni. Alahai… kenapalah aku tak tahu pun sebelum ni. Ke dia orang ingat aku datang kerja dengan pengangkutan awam?


“Ambil pass parking di Bahagian Sumber Manusia.” Itu yang Mr. Danny beritahu aku apabila dia tahu aku datang memandu sendiri. Dari Putrajaya pulak tu, jauh kut.


“Esok datang awal tau! Aku belanja sarapan.” Nina cakap sambil melambai kat aku yang masih terpacak kat tepi jalan. Lepas berbabai-babai dengan Nina aku terus berjalan mendapatkan kereta yang aku parkir kat deretan kedai sebelah sana.






No comments:

Post a Comment