Thursday 19 May 2016

Istana Hati - Bab 3






Bab 3

Memang sengaja aku memandu dengan laju. Tapi masih mengikut had laju yang dibenarkan tau. Susup-sasap aku melarikan kereta sehinggakan dua buah kereta bodyguardnya tak dapat mengekori aku dengan rapat.

Aku tahu orang sebelah aku ni dalam ketakutan melihat cara pemanduan aku yang agak membahayakan. Eh, aku ni pemandu yang cekap tau! Aku memang selalu je buat drift kat atas jalan raya, nak-nak lagi apabila aku memang dah lambat!

Tapi memang bukan Ampanglah namanya kalau tak sesak. Terpaksa juga aku memperlahankan kenderaan apabila kereta dah mula bergerak macam siput.

“Alhamdulillah!” ujarnya. Aku tengok dia urut dada dengan tangan kanan.

“Kenapa? Takut ke?” Aku tanya dengan nada sinis.

“Taklah, cuma terperanjat je. Tak sangka Husna sangat cekap memandu!” Dia berkata sambil senyum pandang aku sekilas. Hah, puji ke perli tu? Ataupun kedua-duanya sekali?

Hari kerja biasa, tak susah nak cari parkir. Elok-elok aku tekan remote control kereta handphone aku berbunyi. Panggilan daripada Abang Azri! Aku buat isyarat dengan tangan tanda nak jawab panggilan dan bergerak menjauh daripada YMP.

Tiga minit aku bercakap dengan Abang Azri. Apabila aku berpaling dan pandang arah YMP yang sedang berdiri di bawah sepohon pokok aku nampak dia dikelilingi oleh bodyguardnya yang seramai empat orang tu. 

Masa ni aku dah tak ada mood nak teman dia masuk dalam Zoo Negara. Walaupun tak berapa langkah pun lagi nak menuju ke pintu masuk Zoo Negara tu. Cuaca yang panas menambahkan darjah kepanasan dalam hati aku. Dahlah aku kena marah dengan Abang Azri! Rasanya sekarang ni aku patut marah seseorang pulak untuk meredakan kemarahan dalam hatiku ini.

Aku melangkah menghampiri keretaku yang dah elok terparkir sambil tekan remote control kereta. Tangan baru nak capai pembuka pintu kereta apabila ada tangan yang tahan pintu dari terbuka.

“Kenapa?” YMP pandang aku dengan mata redupnya. Aku rasa muka aku panas. 

Bodyguard semua dah ada kan? Pergi dengan dia orang ajelah!” Aku letak kedua-dua tapak tangan ke pipi. Malu dia nampak muka merah aku.

But why?” Dia pandang aku dengan muka tak faham. Aku tarik nafas.

“Saya dah cakap kan. Kalau nak saya bawa keluar kena ikut cara saya!”

“Saya dah ikut semua yang Husna mahukan, apa lagi yang tak kena?” Dia tanya dengan nada lembut. Muka dia yang dah merenik dengan peluh aku pandang. 

“Tanyalah bodyguard YMP tu. Tak fasal-fasal saya kena marah! Tolong ketepi, saya nak balik!” Aku suruh dia beralih daripada depan pintu kereta aku.

“Nak balik? Saya takkan benarkan!” serentak itu kunci kereta di tanganku dirampas dan pantas dia berjalan ke arah para bodyguardnya yang tercegat tak jauh dari sini.

Dengan keadaan yang masih terkejut aku pandang arah dia dan para bodyguardnya. Entah apa yang dia cakapkan agaknya. Terangguk-angguk sahaja empat orang bodyguard yang sedang berdiri tegak di hadapannya itu. Tak lama kemudian dia berjalan kembali ke arahku.

Settled, shall we?” Dia tunjuk arah pintu masuk Zoo Negara.

Sorry, tak ada moodlah!” Ingat lepas kena marah aku boleh berkelakuan macam biasa ke? Tak cukup aku diugut hilang pekerjaan tiba-tiba je Abang Azri bersyarah panjang kat aku. Semua orang nak jaga periuk nasi masing-masing. Dah kenapa pula aku yang harus menjadi mangsa?

“Husna, please... saya minta maaf bagi pihak dia orang. Saya janji lepas ni dia orang takkan kacau kita lagi!”

“Saya rasa betul cakap bos saya. Saya harus utamakan keselamatan YMP. Kita baliklah. Saya tak rasa dunia yang biasa-biasa ni sesuai dengan YMP. Kalau setakat nak tengok haiwan-haiwan ni semua dalam Animal Planet pun ada. Tak payah susah payah berpanas kat dalam zoo tu!” Bos tu merujuk kepada Abang Azri. 

“Tak apalah kalau Husna tak nak teman saya di sini. Kita baliklah. Tapi Husna tetap kena teman saya selama tiga hari ni. Kita balik ke suite saya tadi. Tengok Animal Planet sama-sama kat tv ya?”

Erkk... balik suite dia? Ishk, no, no, no! Karang animal lain pulak yang muncul!

“Jomlah masuk kejap!” Aku tengok bodyguard dia pun dah tak ada. Menghilang ke mana agaknya. Padan muka! Kaki mengadu rupanya! Tak fasal-fasal aku kena marah. Huh!

****************

“Rajinnya kau masak? Mimpi apa malam tadi?” Ijah pandang meja makan dengan mata terbeliak. Aku masak nasi lemak je kut. Bukannya masak kepala alien yang sampai dia nak terkejut sangat.

“Aku mimpi kena buang kerja dan lepas tu jadi peniaga nasi lemak!” Aku cakap tanpa perasaan. 

Tiba-tiba je ada orang beria-ia sangat nak makan nasi lemak masakan aku. Semuanya gara-gara dia stalk Instagram aku. Memang aku ada pos gambar nasi lemak yang aku masak. Itu sebenarnya tahun lepas, masa kami beraya di rumah nenek. Itulah kali terakhir aku masak nasi lemak. Lepas tu jangan kata masak nasi lemak, nasi putih pun aku jarang masak kat rumah ni. Wajib aku privatekan akaun Instagram aku lepas ni.

“Makanlah Ijah, aku masak banyak ni!” Aku pelawa Ijah makan sebelum dia pergi kerja.

“Tak sempatlah! Kalau tahu kau masak sedap-sedap macam ni aku bersiap cepat tadi!” Ijah tunjuk muncung.

“Apa susah, tapau ajelah!” Aku bangun dan cari tupperware dalam kabinet.

“Sayang kau Husna! Aku pakai tudung jap eh!” Ijah pantas menghilangkan diri dari ruang dapur.

Aku siapkan bekalan untuk Ijah sekali dengan untuk aku bawa dan makan dengan YMP nanti. Jam dinding aku jeling. Dah menghampiri jam 7:30 pagi. Janji jam 8 pagi aku jemput dia kat hotel. 

Mujur juga aku dan mandi dan bersiap. Tinggal nak pakai tudung kepala je. Lepas susun bekal dalam basket piknik aku bergegas masuk ke bilik. Walaupun hotel tu tak jauh mana dari rumah sewaku ini tapi kalau dah hari biasa macam ni faham-faham ajelah. Jem di sana sini. Kalau jem yang jenis boleh makan dengan roti tu kan senang. 

Tu diaaaa... memang jenuh aku makan jem pagi ni. Aku pun tak tahu berapa missed call yang tertera di skrin handphone aku ni. Memang tak kuasa aku nak layan sebarang panggilan ketika memandu. Maka handphone yang terdampar di seat penumpang sebelahku ini kubiarkan sahaja menjerit-jerit sendiri.

Aku sampai depan hotel ketika jam menghampiri angka 8:35 minit pagi. Aku dah nampak kelibat beberapa orang bodyguard YMP. Aku berhenti betul-betul depan hotel. Tak sempat pun aku nak cari nombor handphone YMP dia dah berjalan laju dan langsung membuka pintu keretaku dan masuk.

“Assalamualaikum! Maaf saya lambat, jalan jem giler pagi ni!” Aku sapa dia.

“Wa’alaikumsalam. Tak mengapa. Saya faham, hari ni bukannya cuti hujung minggu. Jalan jem tu perkara biasa. Yang luarbiasanya kalau jalan tak jem di hari biasa!” Dia jawab sambil senyum pandang aku.

Pergh! Panjang pula jawapan dia. Aku balas senyumannya dan mula memandu. Aku kerling cermin pandang belakang. Dua buah kereta yang memuatkan para bodyguardnya ikut bergerak dalam jarak yang agak jauh.

“Jangan risau. Mereka tidak akan ganggu kita! Memang dah tugas mereka kena ikut saya ke mana-mana. Harap Husna tak kesah!” Dia menerangkan rasionalnya bodyguard harus mengikut dia.

Aku diam je sebab memang sedia maklum dia ni bukan orang sembarangan. Kalau terjadi apa-apa kepada dia aku pun akan terlibat sama. Lagipun malam tadi Abang Azri dah ceramahkan aku. Suruh jaga elok-elok ‘anak orang kenamaan’ sebelah aku ni.  

“Lepas kita bersiar-siar ambil angin di Taman Tasik Titiwangsa ni, ada mana-mana tempat YMP nak pergi?” 

Sopan tak bahasa aku? Ahaks. Janganlah hairan, sebab aku memang dididik dengan penuh kelembutan oleh mama. Cuma apabila dah banyak sangat bergaul dengan kru-kru yang mulut celopar tu, aku pun macam dah terikut sama. Lagipun bekerja dengan produksi yang melibatkan retis memang mampu membuatkan sesiapa sahaja stres. Nak nak lagi retis yang disiplinnya kelaut. Azab!

“Saya ikut ke mana sahaja Husna bawa. Saya serahkan diri ini kepada Husna bulat-bulat!” jawab dia sambil sambung senyum.

Serah diri bulat-bulat? Haish! Tang mana yang bulat tu? Tak nampak pun! Aku tersengih mengenangkan perkara sengal yang terlintas di kepala.

“Husna cantik sangat hari ni. Apabila tersenyum, bertambah-tambah lagi cantiknya!”

Zappp... kaki rasa nak tertekan brek kereta secara mengejut apabila dengar kata-kata dia. Ishk, sejak bila yang pandai mengayat ni?

“Husna! Husna dengar tak apa yang saya cakap ni?” Lembut nada suara dia.

Tapi memang selama yang aku kenal, cara dia bercakap memang penuh dengan kelembutan. Namun begitu dia ada karisma yang tersendiri. Walaupun gaya dia kelihatan tegas namun dia sangat berhemah orangnya.

“Erm, terima kasih atas puji-pujian tu. Yang baik datangnya daripada Allah SWT dan yang buruk itu daripada saya sendiri!” Itu jawapan aku kepadanya. Jujurnya aku sangat tak selesa dipuji-puji. Walaupun aku memang tahu aku cantik. Ahaks.

Aku nampak dia senyum dan anggukkan kepala. Tak tahulah apa yang ada dalam fikirannya. Namun melihat wajahnya yang tenang buatkan hati aku jadi lapang.


6 comments:

  1. Replies
    1. Kak Zeti... terima kasih kak... selalu support ain...

      Delete
  2. Replies
    1. Nanti saya sambung ya Nurliyana Izzati... Terima kasih.

      Delete
  3. mana sambungan..dari last year tggu..huhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Minta maaf, lama betul saya tak update apa2, masih menjaga abah sakit. Sampai lupa dah macam mana nak berblog. Maaf ya, Bab 4 dah ada...

      Delete