Bab 4
Minggu peperiksaan sudah pun berlalu. Aku dah
boleh menarik nafas lega. Malas nak fikir keputusannya nanti. Aku sudah
berusaha sedaya upaya, berdoa dan kini aku bertawakal. Semoga aku dikurniakan
keputusan yang baik-baik.
Ayah
dah janji nak jemput aku jam enam petang nanti. Tapi baru jam lima petang aku
dah kena balik. Sebabnya? Abang Shah yang datang. Dia kata ayah yang minta dia
jemput aku. Menyampahnya!
“Hantar
Ika balik rumah teruslah…” Aku malas nak ke rumah nanny dengan
barang-barang yang segerabak ni.
“Ala,
kejap je. Malam nanti bila pak cik dah balik abang hantarlah Ika…” Dia
ini memang spesies degil. Kena ikut cakap dia saja. Malang betul siapa jadi
teman wanita dia.
“Ika
nak abang terus hantar balik rumah ke ni? Betul tak nak pergi rumah nanny dulu?”
Dia tanya aku dengan nada perlahan. Kesian kut tengok muka monyok aku ni.
“Nak
balik rumah…”
“Okey,
tapi kalau ada apa-apa call abang ya?” Aku anggukkan kepala dengan
pesanan khidmat masyarakat dia ni.
Abang
Shah berhentikan kereta betul-betul di depan pagar rumah. Selepas punggah semua
barang aku masuk dalam rumah, Abang Shah berlalu pergi. Yalah, ayah tak ada di
rumah, takkan aku nak ajak dia masuk pula.
*******************
Ayah bawa aku makan di sebuah restoran
makanan Arab yang terletak di Bangi. Aku suka juga makan nasi Arab walaupun aku
langsung tak ada berdarah Arab.
Aku
serahkan kerja memesan makanan kepada ayah. Aku ini jenis tak kisah. Semua aku
bedal. Tak pernah aku memilih makanan, asalkan halalan toyyiban semua
aku telan.
Sambil
ayah bercakap dengan pelayan aku pulak ralit memerhati dekorasi dalaman
restoran ni. Boleh tahan juga hiasannya. Tapi aku bukan kisah sangat fasal hiasan dalaman sesebuah restoran, yang penting bagi aku
adalah kesedapan makanannya.
Kalau dah bayar mahal-mahal dan makanan itu pula
tak menepati cita rasa memang tak berbaloilah. Datang ke kedai makan nak jamu
selera, bukan nak jamu mata. Satu bonus tu kalau makanan sedap dan dekorasinya
menarik serta sedap mata memandang.
“Nasi
Arab lauk ayam okey, kan?” Ayah beritahu aku sebaik pelayan berlalu pergi.
Aku
angguk kepala. Lauk kambing pun aku suka, tapi agaknya ayah takut aku
mengembek, itu yang dia oderkan ayam. Hmph… miring dah otak aku ni.
Maklumlah, penat mengerah otak menjawab soalan peperiksaan.
“Assalamualaikum!
Maaf pak cik, Shah terlambat.” Aku pandang sebelah kiri dan nampak muka dia
sedang menyengih pandang ayah. Sejenak mereka berjabat tangan. Erm… di
sini pun dia salam cium tangan ayah juga?
“Wa’alaikumsalam.
Tak lambatlah… kami yang datang awal!” Ayah terus persilakan dia duduk. Sebelah
aku pula tu. Aku jeling dia tanda tak puas hati.
“Ayah
yang ajak Shah makan malam dengan kita, sebagai tanda terima kasih sebab dia
jemput Ika petang tadi.” Ayah menjawab persoalan aku.
Abang
Shah tersengih tanda kemenangan. Aku julingkan mata ke atas. Macamlah kalau dia
tak jemput tadi aku tak boleh balik sendiri. Teksi banyak kut.
“Perkara
kecil aje pak cik. Shah pun free sekarang ni. Nak suruh ambil dan
hantar Ika hari-hari pun boleh!”
Amboi,
bukan main manis mulut dia. Kalau perkara kecil tak payahlah ikut sertai aku
dengan ayah makan malam. Apa mak cik tak masak nasi ke malam ni yang sampai
dia kena merempat kat sini, nak tumpang makan malam?
Pelayan
hantar hidangan. Aku tengok ada makanan dan minuman ekstra diletakkan di tempat
kosong sebelah ayah. Lapar sangat ke ayah aku ni sampai oder makanan lebih?
Aku
baru nak menyisip Mango Lassi apabila ayah minta kami tunggu sebentar sebelum
mula makan. Tak jadi aku minum. Aku tolak balik gelas ke depan dan sempat
jeling Abang Shah yang sedang gelakkan aku. Ciss…
Semenjak
kes dia pandai-pandai sound aku dengan Abang Faez di Restoran Fuze
tempoh hari aku agak angin dengan dia. Sejak itu juga aku rasa Abang Faez mula
bersikap dingin sikit dengan aku. Dah jarang juga dia menghubungi aku. Kalau telefon pun tak macam dulu lagi. Cakap sikit-sikit
sahaja.
Sah dia terasa hati sebab aku tak terima cincin batu delima pemberian
dia waktu itu. Ini semua Abang Shah punya fasallah. Menyibuk!
“Assalamualaikum,
maaf saya terlambat!” Ada lagi seorang makhluk yang menuturkan dialog lebih
kurang sama dengan Abang Shah tadi.
Tapi…
siapa dia ni? Salah meja ke?
Ayah
bangun, jawab salam dan kemudian perkenalkan perempuan itu kepada kami. Aku
dengan Abang Shah ikut bangun.
“Perkenalkan,
kawan ayah. Siti Fatimah, Ika dengan Shah boleh panggil dia Aunty Siti.”
Ayah sebut nama perempuan itu dengan senyum lebar.
“Saya
Nur Zulaikha.” Aku sambut huluran salam dia.
“Saya
Muhammad Nadzim Shah.” Abang Shah perkenalkan diri sambil menundukkan sedikit
kepala.
“Sila
duduk semua. Jom kita makan!” Aku tengok ayah ceria, suara pun macam orang
gembira sangat. Padahal waktu ayah sampai di rumah senja tadi bukan main lesu
muka dia.
“Cantik
anak abang? Memang padanlah dengan Shah.” Ek, eh… apa yang dia cakap ni?
Dia kenal kita orang ke? Gaya sebut nama Abang Shah itu macam dah kenal lama.
Dan… dan… dia panggil ayah, abang?
Sejak
bila pula ayah ada adik? Tak sangka hari ini aku ada mak cik segera.
“Ika, dah
mula cuti semester ya? Agak-agak nak buat apa masa cuti ni?” Aunty Siti
tanya aku. Kami baru sudah mengaminkan doa makan yang dibaca oleh ayah.
“Rasa
macam nak kerja…” Aku belasah jawab macam ni dan ayah tunjuk muka tak puas
hati. Ayah ni, aku nak kerja sementara pun dia tak bagi. Bosan gila aku
sorang-sorang kat rumah tu nanti. Tapi siapalah nak ambil aku kerja, cuti pun
bukannya lama sangat. Tak sampai pun sebulan.
“Ayah
tak suka idea Ika nak bekerja tu. Cuti, berehat ajelah di rumah. Tenangkan minda…
bukan senang alam pekerjaan ni. Ika masih belum bersedia nak menghadapi tendang
terajang alam pekerjaan!”
Ala,
ayah ini! Kalau aku kerja pun mestilah part time di kedai-kedai ataupun
restoran makanan segera sahaja. Bukannya aku kena uruskan sebuah syarikat pun.
“Sayang sungguh abang dengan Ika. Over protective,
macam mana nak transfer kalau macam ni?” Aunty Siti bercakap
sambil senyum pandang ayah. Apasal aku rasa macam ada kuntuman bunga-bunga yang
mengelilingi ayah dan Aunty Siti tu? Macam dalam drama Korea tu.
“Ika
satu-satunya harta yang abang ada. Abang sayang dia lebih daripada nyawa abang
sendiri.” Wah, kembang setaman hati aku masa ni. Pertama kali kut dengar ayah
cakap dia sayangkan aku lebih daripada segala-galanya.
“Patutlah
abang susah nak terima orang baru dalam hidup abang. Tapi dah sampai masa abang
fikir diri sendiri, kan? Ika tentu akan bahagia dengan pasangannya nanti. Abang
pun kenalah move on…”
Aku
cuma jadi pendengar perbualan ayah dengan Aunty Siti itu. Dalam
kebanyakan masa hanya mereka berdua yang berbicara. Aku dengan Abang Shah
ibarat macam mangkuk nasi tambah sajalah di sini.
Senyuman
sentiasa melatari bibir ayah dan Aunty Siti. Sinar mata pula nampak
sangat bersinar bahagia. Macam, orang sedang dilamun cinta. Itulah tafsiran
yang bermain di mindaku.
Aku
bukannya bodoh sangat. Sikit-sikit aku dapat tangkap dan faham. Kalau benar
telahan aku, ayah mahu kahwin lagi. Tiba-tiba aku rasa kecil hati. Sikit pun
ayah tak pernah beritahu yang dia dah ada ‘kawan’.
Tup-tup hari ini aku diperkenalkan
dengan Aunty Siti sedangkan aku rasa hubungan ayah dengan Aunty Siti
dah terlalu jauh. Bukan peringkat baru berkenalan saja.
“Ika
balik dengan Abang Shah.” Aku beritahu ayah. Lagipun ayah nak hantar Aunty Siti
pulang ke rumahnya. Cepat sahaja ayah bersetuju dengan cadangan aku.
Lepas
bersalaman menonong aku masuk ke dalam kereta.
“Kenapa
ni? Angin tak ada, ribut tak ada… pokok sakan bergoyang?” Abang Shah cakap
sambil pandang aku yang masam mencuka.
“Sebab
ada bapak monyet atas pokok!” Aku jawab dengan nada geram. Abang Shah gelak
dengar jawapan aku.
“Ika
tak nak balik!” Aku cakap pada Abang Shah ketika dia mula memandu. Jam di
lengan kiri aku kerling. Waktu sekarang 10:00 malam. Lama juga sesi makan malam
kami tadi.
“Habis
tu nak pergi mana?”
“Mana-manalah, asalkan tak payah balik rumah!” Kalau
aku balik pun, ayah bukannya ada. Entah-entah ayah pergi sambung berdating di
mana-mana. Fikiran jahat menguasai aku.
“Okey,
abang tahu nak bawa Ika pergi mana.” Abang Shah cakap sambil sengih.
“Abang
Shah jangan macam-macam ya. Ika terer karate orang tau!” Aku bagi dia
amaran apabila tengok sengih jahat dia tadi.
“Eleh,
kita tengoklah nanti. Siapa yang karate siapa!” Dia angkat-angkat kening. Gaya
tumbuh tanduk.
“Cubalah kalau berani!” Aku tengah sakit hati ini
memang nak merasalah kalau dia buat benda bukan-bukan.
No comments:
Post a Comment