Tuesday 23 February 2016

Kahwin Kampus - Bab 8






          Bab 8





Aku duduk atas sofa kulit berwarna gading yang terdapat dalam bilik pejabat luas yang serba mewah ini. Miring betul Abang Faez ini, ada ke dia suruh aku jalan di depan dia masa keluar dari lif tadi? Habis semua pekerja dalam pejabat ini pandang aku dengan muka hairan. 


Aku boleh rasa betapa rapatnya dia berjalan di belakang aku. Ada juga aku terfikir nak berpaling dan lepas itu lari keluar dari pejabat ini dan terus menuju ke lif. Tapi besar kemungkinan aku cuma lari ke dalam pelukan dia sahaja, sebabnya laluan masuk ke pejabat dia ini taklah besar mana. Kiri kanan ada partition yang memisahkan meja para pekerja. 


Dia siap pesan dengan perempuan yang duduk kat meja menghadap bilik dia ini yang dia tidak mahu diganggu. Pintu bilik dia tutup rapat, mujur bidai yang menabiri bilik kaca ini dibuka sedikit. Cukup untuk orang di luar nampak apa yang berlaku di dalam ini dan begitulah sebaliknya. 


Dia buka tali leher dan campak atas meja kopi depan aku. Kot yang dia pakai tadi awal-awal dia dah sangkutkan di penyangkut kayu yang terdapat di sudut bilik. Dia henyak tubuh dengan kasar kat sofa single depan aku. Muka masih masam dan tegang macam tadi. 


Ini apa hal pula ini? Aku pandang dia, dia pandang aku. Tapi sesekali aku pandang juga pintu bilik yang berkunci tu. Klasik pula pemegang pintu dia tu, jenis yang pakai anak kunci luar dan dalam. Kalau guna tombol pintu kan senang, aku boleh pusing saja dari dalam. 


“Jangan harap dapat keluar dari sini!” Aku julingkan mata ke atas masa dengar dia cakap macam ini. Ramai orang kat luar itu kut. Dia boleh buat apa? Aku jerit kuat-kuat, mesti dia orang bergegas datang menolong. 


Sejenak mata aku terpandang jam bulat bersaiz pinggan makan yang terlekat elok di dinding bilik pejabat ni. Alamak… dah menghampiri jam 5 petang. Sekejap lagi tentu semua pekerja akan pulang ke rumah masing-masing. 


“Abang Faez nak apa sebenarnya ni?” Aku dah malas nak tengok muka ketat dia tu. 


“Kenapa Ika masih keluar dengan Shah? Korang ni couple ke apa?” Suara dia dah mengendur. Tak macam mula-mula tadi. Dah sejuklah itu. Alhamdulillah. 


Couple la agaknya…” Bosan kut ditanya soalan tak membangunkan minda macam ini. Macamlah dia tak kenal siapa Abang Shah itu dan apa hubungan kawan itu dengan aku. Hipokritnya pertanyaan. 


Lagipun alang-alang dituduh aku pernah keluar dengan lelaki lain baik aku sahkan saja. Dah Abang Shah itu memang lelaki. 


“Selama hari ni Ika anggap abang ni macam apa? Kawan? Kekasih?” 


“Terpulang pada anggapan Abang Faez terhadap Ika jugaklah. Kalau Abang Faez anggap Ika kawan, maka Ika pun anggap Abang Faez sebagai kawanlah juga!” Kalau aku jawab aku anggap dia sebagai kekasih sedangkan dia cuma anggap aku sebagai kawan tak ke aniaya? Malu free saja nanti. 


Tapi, kami sendiri tahu hakikat yang sebenarnya. Lepas habis matrik Abang Faez ada menyuarakan hasrat hati hendak menjadikan hubungan kami ini serius. Jadi selama ini aku memang serius nak menjalinkan hubungan dengan dia. Tapi kalau aku saja yang serius sedangkan dia seronok berfoya-foya dengan perempuan lain, apa maknanya tu? Tak ke aku ini bodoh? 


“Ika sebenarnya tak serius, kan?” Aku pandang muka dia. Seraut wajah putih kuning yang penuh berkarisma ini kupandang. Selalu aku tengok dia berpakaian kasual. Apabila dia berpakaian formal seperti ini berganda segaknya dia. 


“Macam mana pulak dengan Abang Faez? Serius ke? Rasanya tak kut. Kalau serius takkan senang-senang je keluar dengan perempuan lain. Masa ayah cakap Ika tak berapa nak percaya, tapi hari ini tak sangka. Berpeluang tengok dengan mata sendiri!” Aku luahkan rasa geram dalam hati. 


Huh, manusia! Salah orang dia nampak, salah sendiri tak perasan!” Dia jawab balik dengan nada sinis. Eh, sakit jugalah hati aku ini dibuatnya. 


“Sekurang-kurangnya Ika jujur. Ika hanya keluar dengan Abang Shah. Bukan macam abang, bukannya keluar dengan satu perempuan…” Itu yang ayah khabarkan kepada aku. Apabila ayah tahu aku berkawan dengan Abang Faez ayah memang menentang. Ayah kata Abang Faez playboy


“Ika jangan kolot sangat macam ayah Ika boleh tak? Abang sekarang ni terlibat dengan dunia perniagaan, salah ke kalau abang keluar dengan clients syarikat? Takkan abang nak tetapkan yang berurusan dengan syarikat ni mesti semuanya lelaki?” Abang Faez membela diri. 


Memang betul kata-kata dia tu. Boleh diterima pakai. Tapi dia baru sebulan kut terlibat dengan syarikat papa dia? Habis yang sebelum-sebelum ini kira macam mana? Klien syarikat juga ke? 


Paling menyakitkan hati dia kata ayah aku kolot? Jadi moden sangatlah pemikiran dia tu, sampai boleh tukar-tukar perempuan macam tukar baju? Tak tahu ke kalau berkawan dengan perempuan bukan mahram tanpa ada niat hendak dijadikan isteri itu hukumnya haram? Ingat tak berdosa ke mempermainkan hati dan perasaan orang? 


“Kenapa Abang Faez tak beritahu dah berhenti kerja di Kemaman? Kalau ayah tak paksa suruh abang datang rumah hari tu, mesti sampai sekarang Ika belum tahu.” 


Nampak sangat aku ini tak penting dalam kehidupan dia. Pada aku hal pemberhentian kerja dan perpindahan dia ke Kuala Lumpur semula adalah sesuatu yang penting dan besar buat aku. Macam mana dia boleh tak beritahu aku? 


Dia mengeluh. Menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan kasar. 


“Abang tak rela sebenarnya bekerja di syarikat ni. Tapi papa abang paksa… abang nak cuba dulu beberapa bulan. Kalau tak serasi mungkin abang akan cari kerja lain. Dunia korporat bukan dunia abang, Ika. Deal dengan developer, main cont, sub cont dan vendor… abang kena ambil masa nak belajar semuanya. Dari dulu lagi abang memang tak nak bekerja dengan papa. Tapi nak buat macam mana. Abang satu-satunya pewaris papa. Apa pilihan yang abang ada?” 


Yalah, kalau pun macam itu takkanlah tak boleh beritahu aku? Malu aku masa ayah tempelak. 


“Ayah Ika pun satu hal juga. Tak boleh simpan rahsia. Patutnya tanyalah dulu abang keluar dengan siapa. Ini main assume je. Kolot sangat!” Lagi sekali dia mengata ayah aku. 


“Ayah tak salah. Jangan babitkan dia dalam hal ni.” Aku tak rela ayah dipersalahkan. Tidak sama sekali. 


“Bapak borek anak rintik. Sama je perangai. Korang ajelah yang betul, orang lain semua salah!” Tiba-tiba saja suara dia melengking. Terkejut aku. Terus aku bangun. 


“Nak pergi mana? Duduk!” Dia jerkah aku. 


“Nak balik!” Aku pun terjerkah kat dia balik. Terkejut aku dibuatnya, ini kali pertama dia tinggikan suara kat aku. Kali pertama juga dia bermulut celupar dengan aku. Apakah ini memang perangai sebenar dia? 


Aku berlari ke arah pintu. Memang tak boleh dibuka tanpa anak kunci yang disimpan dalam poket seluarnya tadi. Aku selak bidai, di luar dah malap. Kebanyakan lampu sudah pun dipadamkan. Perempuan yang duduk di meja depan bilik ini pun dah tak ada. Bersih dan kemas mejanya. 


Aku berpaling ke belakang apabila bulu roma terasa meremang. Dia dah berdiri dengan jarak beberapa inci saja daripada aku. Terus aku tersandar di belakang pintu. 


“Kenapa? Takut?” Suara dia kedengaran seram di pendengaran. Gila kalau aku tak takut. 


Aku pejamkan mata dan kalih muka ke sebelah kiri apabila dia semakin mendekat dan mukanya ditundukkan menghampiri muka aku. Hela nafasnya boleh kudengar dengan jelas. 


Dengan sebelah tangan menekan pintu, sebelah tangan lagi memegang bahu aku. Tidak, aku takkan benarkan dia menyentuhku. Aku baru bercadang nak angkat sebelah kaki dan tendang celah kangkang dia apabila bunyi ketukan di pintu kedengaran. Kuatnya bunyi itu bagaikan mampu merobohkan pintu bilik ini. 


Aku buka mata, terus terpandang muka terperanjat dia. Terus tubuhnya kutolak dan aku berlari ke dinding dan buka bidai. Aku nampak ada beberapa orang lelaki di luar. 


“Faez! Buka pintu ni!” Aku tengok muka dia pucat. Suara yang melaung dari luar itu pun boleh tahan garangnya. 


Terkocoh-kocoh dia keluarkan anak kunci dari poket seluar dan dimasukkan dalam lubang kunci. Aku mengucap syukur dalam hati, Allah SWT hantarkan bantuan buat aku di sini. 


Pintu terus terbuka sebaik Abang Faez pusing anak kunci. Aku nampak pintu itu ditolak dengan tongkat. Seorang lelaki tua dengan wajah yang garang dan bengis masuk. 


“Kau buat apa?” Garang dia bertanya kepada Abang Faez yang diam membatu. Tahu takut. Tadi bukan main lagi. 


‘Marah dia lagi pak cik, baru padan muka dia!’ Aku cakap dalam hati. 


Aku nampak Abang Shah berdiri depan pintu, Pak Kasim pula ada di luar bilik. Kali ini aku nampak Abang Shah bersinar-sinar, bagaikan pahlawan pedang yang datang untuk menyelamatkan aku. 


“Abang Shah!” Aku peluk lengan dia. Abang Faez ketap bibir pandang kat aku dengan muka merah padam. 


Tiba-tiba lelaki tua itu berpaling dan pandang kat aku. 


“Kamu siapa?” Dia tanya pada aku. Perlahan aku angkat muka dan menentang pandangannya. Terus bulat mata orang tua itu pandang aku dan ternganga mulutnya. Apa rupa aku macam hantu ke ketika ini? 


“Zu… Zurai… nah?” tergagap-gagap dia sebut sepotong nama. 


“Saya Nur Zulaikha, pak cik!” 


“Tan Sri…” Aku dengar Pak Kasim sebut dari luar pintu. Oh, Tan Sri ke? Manalah aku tahu. 


“Si… siapa perempuan ni?” Dia paling pada Abang Faez semula. 


“Bakal isteri Faez, papa!” dia jawab dengan yakin. Aku punyalah terkejut sampai kuat aku cengkam lengan Abang Shah. 


“Kita duduk dululah, bawa berbincang!” Tan Sri yang bertongkat itu tunjuk sofa pada aku dan Abang Shah. Tapi aku gelengkan kepala. Aku tak nak duduk balik kat sofa tu. Aku nak balik. 


“Kami minta diri dululah Tan Sri. Terima kasih atas bantuan Tan Sri…” Abang Shah hulurkan salam pada Tan Sri. Dengan Abang Faez dia buat derk saja. 


“Tak mengapa Shah, uncle minta maaf dengan kelakuan buruk Faez ni! Nanti uncle ajar dia cukup-cukup!” Tan Sri cakap sambil ketap bibir. 


Handphone!” Aku unjuk tangan kat Abang Faez. Dengan langkah malas dia berjalan ke arah kot yang tergantung, keluarkan handphone dan letak atas tangan aku. 


“Kami balik dulu Tan Sri!” Aku angguk kepala kat Tan Sri tu. Tanpa pandang pada Abang Faez aku tarik lengan Abang Shah dan kami berlalu dari situ. 


“Kenapa Ika tolak pelawaan Tan Sri tu? Kan dia ajak berbincang tadi?” Abang Shah sound aku, nada suara macam tak puas hati. 


“Nak bincang apanya? Tak sangguplah nak pandang muka Abang Faez tu!” Geram betul aku dengan perbuatan Abang Faez ni. Dia nak buat apa sebenarnya? 


“Itulah, kan ayah Ika dah cakap yang Faez tu tak sesuai buat Ika. Sekarang ini apa dah jadi?” 


“Yalah Abang Shah! Ika peninglah… tak payahlah nak membebel!” Aku marah dia balik. 


Mujurlah lepas itu dia diam sampailah kami masuk dalam kereta dan mulakan perjalanan pulang.

No comments:

Post a Comment