Sunday 24 April 2016

Istana Hati - Bab 2






Bab 2


Aku melangkah dengan longlai menuju ke kereta yang terparkir nun jauh di sana. Kalau datang kerja lambat sikit mulalah dapat tempat parkir yang saujana mata memandang. 

Di pusat penyiaran ni memang 24 jam je ada pekerja. Jadi kebarangkalian untuk dapat tempat parkir yang dekat-dekat tu memang sifarlah untuk aku yang jarang berada di pejabat.


“Husna!” Satu suara garau menegur. Langsung terhenti langkah kaki. Aku berpusing ke arah di mana datangnya suara tersebut. Abang Azri sedang tercegat berdiri sambil memandang aku yang buat muka macam tak makan sepuluh hari. Lemah. Aku benar-benar lemah hari ni.


“Cepatnya balik? Kan abang suruh tunggu tadi?” Abang Azri bergerak perlahan menghampiriku yang dah macam tiang lampu di tempat parkir ini.


Aku tarik nafas. Muka Abang Azri aku pandang sekilas dan lepas tu aku halakan pandangan ke bawah.


“Abang tahu Husna boleh! Abang minta maaf sebab tak dapat bantu. Tapi kerja tu tiga hari je Husna. Lepas tu dah boleh back to normal!” Abang Azri cuba memujuk.


“Masalahnya kenapa mesti Husna? Kalau lawatan rasmi, mestilah ini di bawah urusan kerajaan kan? Stesen penyiaran kita ni swastakan? Stesen berbayar, jadi Husna tak rasa kita kena buat semua yang diminta tu. Abang tak rasa mengarut ke?” terang-terang aku tunjuk muka tak puas hati.


“Ada banyak yang Husna belum tahu. Sebab tu abang suruh tunggu tadi. Tapi dah Husna nak balik sangat abang ringkaskan ajelah. Pengiran tu adalah penyumbang dana terbesar untuk stesen penyiaran kita ni. Sejak ditubuhkan tujuh tahun dulu lagi. Tapi dia lantik orang lain sebagai proksi. Tidaklah secara terang-terangan orang tahu yang dia adalah owner stesen kita ni!” ujar Abang Azri bersungguh-sungguh.


“Jadi betullah khabar angin selama ni?” soalku.


Benda ni memang aku pernah dengar daripada staf-staf senior. Pengiran Muda dari negara jiran itu adalah pemilik stesen penyiaran yang terbesar di rantau Asia ini.


Abang Azri anggukkan kepala. “99% daripada khabar angin tu selalunya perkara benar Husna!” Abang Azri jawab dengan yakin. 


“Mr. Anand dah cakap tadi kan. Pengiran Muda tu yang request minta Husna guide dia sepanjang dia di sini. Kalau Husna tak mahu, terpaksalah Husna berhenti kerja. Tapi, jangan harap Husna akan dapat kerja di mana-mana stesen penyiaran lagi dah. Ini hakikat Husna. Fikirlah masak-masak. Abang tak rasa syarikat kita akan biarkan Husna dalam bahaya. Setahu abang pengiran daripada negara jiran tu baik orangnya. Husna janganlah risau!” Abang Azri habiskan cakap dan kemudian minta diri. Senangnya Abang Azri cakap, lepas tu blah camtu aje? Ishk... ishk... ishk, macam swipe kad touch and go je gayanya.


Aku pejamkan mata dan hela nafas panjang. Aduhai... dalam beratus orang pekerja di bangunan yang tersergam indah ni kenapa aku yang kena? Kenapa? Kenapa?





Kurung moden warna grey dengan kemasan manik berwarna merah dipadankan mula dengan kain daripada fabrik songket memang membuatkan aku kelihatan luar biasa. 

Wajahku ditata rias oleh jurusolek, membuatkan aku sendiri tidak percaya yang aku lihat dalam cermin tadi adalah diriku sendiri. Koleksi Aminah daripada Tunku Tun Aminah dengan kolaborasi daripada pereka terkenal Jovian Mandagie mampu membuatkan aku ternganga melihat harganya sahaja.


Aku mendapat beberapa helai pakaian ‘tajaan’ daripada koleksi TTA& JM ini sepanjang tiga hari aku bakal menemani pengiran muda tersebut.


Dengan lafaz bismillah aku berdiri di depan suite yang menempatkan Pengiran Muda ini. Di kiri kanan pintu berdiri dua orang bodyguard. Mereka menganggukkan kepala kearahku lalu menepi. Salah seorang daripadanya membukakan pintu untukku masuk.


Jahat tak aku? Ingat aku saja-saja je nak berdiri depan ni? Aku halakan handphone ke arah dua orang bodyguard tu. Ambil gambar mereka dan aku hantarkan kepada Ijah dan Abang Azri melalui WhatsApp. Sekurang-kurangnya kalau aku tak balik, adalah juga orang yang boleh mereka cari.


Namun aku berpegang kepada kata-kata Abang Azri dan Mr. Anand yang meyakinkan aku tidak akan ada perkara buruk yang akan berlaku. Kedatangan putera raja ini ke mari selain mahu melakukan lawatan ke stesen penyiaran yang kononnya dia adalah salah seorang pemiliknya, dia juga mahu berjalan-jalan di sekitar ibu kota. 

Oleh sebab itu dia mahu aku sebagai peneman. Masa ni aku dah kutuk dia dalam hati. Tak cukup ke bodyguard dia yang segerombolan tu sampai nak aku jadi peneman?


Kalau ada perkara buruk bakal terjadi kat dia jangan harap aku dapat membantu. Aku bukan tahu sebarang jenis seni mempertahankan diri pun! Haish, masa ni aku menyesal betul bersetuju dengan permintaan Mr. Anand ni.


Tapi kalau aku tak bersetuju pun tak boleh juga. Sebabnya aku diberi kata dua. Teman Pengiran Muda ni selama tiga hari ataupun berhenti secara sukarela berkuatkuasa serta-merta. Tak kejam ke tu? Kejam tahap lapan kuasa kuda tau! Rasa nak je aku laporkan kat Jabatan Tenaga Kerja kalau aku ada bukti! Rugi betul aku tak rakam kata-kata Abang Azri semalam!


“Silakan masuk!” 


Lamunanku terhenti apabila mendengar suara seseorang. Aku angkat muka dan nampak wajah seorang wanita lingkungan 30an sedang tersenyum memandangku.


“Terima kasih!” jawabku sambil menunduk sedikit, tanda sopan.


Perlahan aku mengekori langkahnya dengan rasa lega yang teramat sangat. Sekurang-kurangnya bukan aku sahaja wanita di dalam suite mewah ini.


“Silakan duduk!” 


Wanita itu menunjukkan aku sofa berwarna gading yang terletak di ruang suite yang luas itu.  Aku anggukkan kepala dengan senyuman masih terukir di bibir. Aku ikut pesan Abang Azri sebenarnya, dia suruh aku kurangkan bercakap tapi banyakkan senyuman. Sebab selama ni aku kurang senyum katanya. Memang pun, sebab aku selalu stres ketika bekerja.


Aku duduk dalam keadaan tegak, kedua-dua kaki kusengetkan sedikit dan kedua-dua tangan pula berada di atas riba. Tidak kunafikan, busana yang kupakai hari ini menaikkan keyakinan diri.


“Assalamualaikum Cik Husna! Apa khabar?” Pengiran Muda Mahmood muncul depan mata sambil menegurku dengan senyuman manis. Spontan aku bangun dan berdiri.


“Waalaikumussalam YMP!” Aku langsung tersebut nama gelaran yang pernah aku gunakan dahulu. Aku lihat dia menyengih dan kemudiannya ketawa. Tergeleng-geleng kepalanya.


“Nah, Husna masih ingat rupanya nama panggilan tu. Jadi bermakna, Husna memang tak pernah lupakan saya kan?” Dengan mata yang dikecilkan dia habiskan kata-kata dan pandang tepat ke wajahku.


Aku dapat rasakan mukaku terasa panas. Macam manalah aku boleh tersebut YMP tadi sedangkan dari rumah lagi aku dah hafal nak panggil dia Pengiran Muda! Haish, mulut tak makan saman!


“Duduklah! Lama kita tak berjumpa, kan? Selepas di Melbourne tu saya dapat tengok Husna dari jauh je!” Dia ambil tempat di depanku. Duduk dalam keadaan tegak dan dia kelihatan sangat berwibawa. 


Lama tak jumpa apanya? Baru dua bulan lepas je team kami dijemput buat penggambaran di sekitar negaranya. Siap menjemput kami melawat kediaman rasmi keluarganya lagi tu. Takkan dia hilang ingatan kut?


Wanita yang menyambut kedatangan aku tadi datang semula sambil menatang dulang dengan set minuman. Perlahan dia meletakkannya di atas meja dan mula menuang air ke dalam dua biji cawan.


“Silalah minum!” YMP mempelawa sebaik wanita tadi berlalu pergi. 


Aku cuma mampu tersenyum. Kepala otak aku dah diprogramkan agar tidak makan ataupun minum di sini. Manalah tahu kalau-kalau dia bubuh ‘sesuatu’ dalam minuman tu. Aniaya aku kena jadi gundik dia seumur hidup.


Aku tengok dia bawa cawan ke mulut dan dengan perlahan dan tertib dia menyisip sedikit air, kemudian dengan perlahan juga dia meletakkan kembali ke atas meja. Piring berisi sepotong kek dihulur ke hadapanku.


“Silakan!” Dia buka tangan kanan, tanda mahu aku menjamah hidangan depan mata.


“Saya masih kenyang!” ujarku dengan senyuman. Dia ketawa dan kemudian memanahkan pandangan mata redupnya ke arahku.


“Awak masih tak berubah Husna! Masih seperti dulu, skeptis!” Suaranya bernada mengejek. Aku hanya mendiamkan diri. Suka hati akulah nak skeptis ke tidak. 


“Awak tahu kenapa saya minta awak ke mari?” Kali ni suaranya bernada lembut.


Walaupun Mr. Anand dah beritahu aku sebab musababnya kenapa aku diminta berjumpa dengan Pengiran Muda depan aku ni namun aku ambil keputusan untuk gelengkan kepala. Nak juga lihat akalnya. Adakah dia akan bersikap jujur ataupun nak trick aku?


“Saya minta Husna temankan saya jalan-jalan sepanjang tiga hari di sini!” Dia cakap sambil anggukkan kepala. Aku tarik nafas lega. Dia bukan nak suruh aku jadi khadam ataupun gundik dia kan?


Seketika suasana jadi sunyi. Sebabnya dia sedang pandang aku dengan senyum manisnya itu. Aku pulak terpaksa buat-buat pandang pump di kaki. Alamak, aku pakai kasut kat dalam bilik ni? Tapi apabila aku kerling kakinya yang sedang bersilang tu, dia pun pakai kasut juga. Lega aku, taklah rasa bersalah sebab tak tanggalkan kasut tadi.


“Husna, kenapa lepas balik dari Melbourne Husna langsung tak pernah contact saya? Bukankah sebelum tu kita berjanji untuk keep in touch?”


Aku diam lagi. Memang betul aku pernah berjanji untuk terus berhubungan dengan dia. Tapi itu sebelum aku tahu siapa dia yang sebenarnya. Setelah aku tahu memang patutlah aku menjauhkan diri. 


“Sa... saya tak ada nombor telefon YMP. Telefon lama saya tu hilang dan saya hilang nombor telefon semua orang juga!” Aku mencipta alasan.


“Oh, baiklah. Saya terima alasan tu. Tapi, memandangkan kita dah berjumpa sekarang ni, boleh beri saya nombor telefon bimbit Husna yang baharu?”


“Bukankah saya dah bagi dua bulan lepas?” Aku cuba buat riak selamba.


“Memang dah bagi. Tapi lepas tu nampaknya nombor tu dah tak aktif lagi!” Dengan riak selamba juga dia menjawab. Aduhhh... dia memang betul-betul cuba contact aku ke dalam masa dua bulan ni?


Balik je ke Malaysia hari tu aku memang tukar nombor lain. Entahlah, aku rasa sangat tak selesa menerima panggilan dan mesej peribadi daripadanya. Aku tidak mahu terbuai-buai dengan perasaan sendiri. Perempuan mana yang tak ingin berteman dengan jejaka kerabat diraja yang punya segala-galanya ini?


“Boleh beri nombor telefon Husna sekali lagi?” Pandangan mata dipanahkan tepat ke wajahku. Permintaan ataupun arahan?


“Ataupun Husna nak saya berusaha dapatkan sendiri?” Dia pandang aku dengan muka serius. 


Dengan hati yang tak rela aku sebut juga nombor telefon bimbitku dan dia terus memasukkannya ke dalam list contact telefon bimbitnya. 


Save nombor telefon saya dalam handphone Husna. Saya harap kali ni Husna tak akan tukar nombor telefon lagi!”


Aku hanya mampu menganggukkan kepala dan setia memanahkan pandangan ke lantai yang disaluti permaidani tebal. 


“Selama tiga hari ni. Saya nak Husna bawa saya jalan-jalan sekitar ibu kota. Saya nak jadi orang biasa. Yang tak dikenali oleh sesiapa. Saya nak pergi ke tempat-tempat yang orang biasa suka pergi. Tanpa protokol, tanpa gangguan daripada mana-mana pihak!”


“YMP nak ke mana ya?” Aduh, ikutkan hati malas betul aku nak layan permintaan anak raja ni. 


“Husna bawalah saya ke mana-mana sahaja. Tempat yang Husna suka pergi ke contohnya?”


Tempat aku suka pergi? Sah dia ni dah hilang akal! Tempat yang aku suka pergi tu maknanya tempat yang dia memang tak pernah pergi. Aku suka lepak kat taman sambil berjoging. Aku suka makan kat gerai dan ke pasar malam. Malahan banyak kali aku dengan Ijah ke uptown mahupun downtown cuci-cuci mata. Aku yakin sangat dia takkan suka tempat-tempat tu!


“Kalau saya biasanya suka jalan-jalan di shopping kompleks. Melawat muzium, zoo, taman burung...” Aku main belasah je ni. Padahalnya Zoo Negara dan Taman Burung tu baru sekali je aku pergi. Itupun zaman sekolah dulu. Belum pernah lagi aku jadikan melawat zoo dan taman burung tu sebagai acara tahunan.


“Bawa saya pergi tempat-tempat tu Husna!” Dengan mata bersinar dia buat permintaan. Hampir aku nak garu kepala dengar permintaan dia ni. Cuaca panas sekarang ni, jenuhlah kalau nak pergi tempat terbuka macam tu. Ishk, mulut aku ni pun pandai sangat bagi idea!


Please Husna!” Tak sempat aku nak menjawab dia buat muka mintak simpati pandang aku. Adeh...


“Nak pergi zoo?” Aku pandang dia dan cepat je dia anggukkan kepala. Haila, umur berapa tahun dia ni? 


“Boleh, tapi bukan dengan pakaian vogue saya ni. Nampaknya saya kena balik dan tukar pakaian dulu!” ujarku.


Aku masih waras kalau nak pakai kostum yang berharga RM1400 ni untuk pergi ke zoo. Bukan tak boleh tapi tak sesuai. Lebih selesa kalau pakai jean dan kemeja sahaja. Lainlah kalau aku ni dijemput untuk merasmikan acara apa-apa di Zoo Negara tu nanti. Datang sana sekejap, tayang senyum, salam lebih kurang dan lepas tu potong riben. Haish, jauh aku berangan nampaknya ni!


Sungguhku tak faham, kenapa sampai nak ditaja pakaian aku selama tiga hari ni. Nak kena bermekap bagai, mengalahkan super model pulak ni?


“Apa salahnya dengan pakaian tu?” Dia tanya dengan muka tak berdosa. Aku kerling pakaian yang dikenakannya. Hampir aku menggelengkan kepala. Banyak salahnya kalau pakai begini hanya setakat nak bersantai di zoo. Aku harap dia tak ada niat nak pakai coat kat sana nanti. Panas beb, panas!


“Nak saya bawa jalan-jalan kan?” Aku tanya dengan nada lembut tetapi tegas. Masa ni otak aku tengah laju mencari idea spontan. Lekas-lekas dia menganggukkan kepala.


“Kalau macam tu, kena ikut cara saya! Setuju?” Aku habiskan cakap sambil senyum pandang dia. 


“Maksud?” Dia buat muka tak faham.


Bodyguard hanya boleh ikut dari jauh. Pakai macam orang biasa, bergaya macam orang biasa. Kena tahan panas, tahan bersesak, pendek kata tahan semua-semuanya! Tak boleh komplen panaslah, penatlah, jemulah dan sebagainya!” Dengan sepenuh hati aku berkata-kata. 


Besarlah harapanku agar dia akan ubah fikiran dan batalkan hasratnya nak jadi orang biasa tu. Dalam kepala otak geliga aku ni dah terfikirkan macam-macam perkara yang bakal menyusahkan dia yang aku akan buat!


Namun senyuman yang tersungging di bibirnya mematikan keterujaan aku yang menakut-nakutkan dia tadi.


“Setuju!” Dia angkat tapak tangan kanan separas bahu.


“Setuju?” Lemah suara aku. 


“Ya, saya setuju!”


“Betul ni?” Aku buat nada seolah mahu menggoyahkan keyakinannya.


“Betul! Tiga hari ni saya milik Husna. Husna boleh suruh saya buat apa sahaja, saya akan patuh!” Dia pamer senyum gembira pandang aku. Hati aku pulak yang berduka melihat senyuman terujanya itu!


6 comments:

  1. Tiga hari ni saya milik Husna. Husna boleh suruh saya buat apa sahaja, saya akan patuh..
    Auwww.. so sawitt.. hahaha.. good job.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sawit sangattt...kelapa sawit...hehehe...thanks Lia... selalu support akak...

      Delete
  2. Replies
    1. Kak Ima, terima kasih sudi baca... insya-Allah saya akan update lagi...

      Delete
  3. Suka baca citer sempoi dan santai macam ni. Malas dah nak baca yang berat2..hehe... teruskan menulis Ain. Cepat2 siapkan... tak sabar nak baca novelnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih suka yang sempoi macam ni... insya-Allah akan terus menulis...

      Delete